PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Pejabat Education Malaysia Mesir (EMM) memantau perkembangan semasa lapan pelajar Malaysia daripada Universiti Al-Azhar yang terlibat kemalangan di Port Said, Sabtu lalu.
Menurut kenyataan KPT, pihak kementerian juga sentiasa mengikuti secara rapat perkembangan situasi tersebut melalui Kementerian Luar Negeri.
“KPT mengambil maklum lapan pelajar Malaysia daripada Universiti Al-Azhar yang terlibat dalam insiden kemalangan kenderaan ketika dalam perjalanan dari Kaherah ke Port Said.
“Lima pelajar dilaporkan mengalami luka ringan dan dirawat di wad pesakit luar, Hospital Sayed Galal di Kaherah, manakala tiga pelajar lagi ditempatkan di wad kecemasan untuk rawatan lanjut,” menurut KPT, hari ini.
Susulan itu, perkembangan lanjut mengenai insiden berkenaan akan dimaklumkan oleh KPT dari semasa ke semasa.
Kosmo! pada Ahad lalu melaporkan, lapan penuntut Malaysia di Universiti Al-Azhar, Mesir terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Port Said.
Lima pelajar iaitu Muhammad Firdaus Yacob, Muhammad Adli Fitri Mohd. Anuar, Shahrul Aiman Jaafar, Muhammad Zulfiqar Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hazieq Badrisyah Norhamedon mengalami luka ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Tiga lagi pelajar iaitu Muhammad Zafri Abdul Rasyid, Muhammad Sulhi Nazri dan Muhammad Rais Zafran Muhammad Shuhaimi mengalami kecederaan lebih serius dan dimasukkan ke wad untuk pemerhatian lanjut.
Sementara itu, KPT dalam kenyataan turut memaklumkan, sistem pembangunan data telah disediakan melalui inisiatif pembangunan sistem MyData@EducationMalaysia4U.
Justeru, pelajar digalakkan untuk mengemas kini butiran diri dan pengajian ke dalam portal rasmi Jabatan Pendidikan Tinggi bagi capaian maklumat data yang tepat dan cepat sekiranya berlaku sebarang kecemasan. – KOSMO! ONLINE