KPJ Healthcare buka hospital ke-30 di Kuala Selangor

2 days ago 8

PETALING JAYA – KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) melancarkan cawangan hospitalnya yang ke-30 iaitu Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor (KPJKS), sekali gus mengukuhkan komitmen Kumpulan untuk memperluaskan akses kepada penjagaan kesihatan pakar swasta bagi komuniti yang semakin berkembang di luar pusat bandar utama.

KPJKS telah mula beroperasi pada 22 Mac lalu dan merupakan sebuah hospital pakar swasta pelbagai disiplin yang pertama dan satu-satunya di Kuala Selangor.

Dalam tempoh dua minggu pertama pembukaannya, hospital ini telah berjaya melaksanakan pelbagai pembedahan dan prosedur skop serta turut menyambut kelahiran bayi pertama.

Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Ismail Bakar berkata, pelancaran hospital ini bukan sekadar pembukaan sebuah fasiliti baharu, malah ia mencerminkan komitmen berterusan untuk membawa penjagaan kesihatan berkualiti lebih dekat kepada komuniti setempat yang paling memerlukannya. 

“Matlamat kami bukan sahaja untuk meluaskan capaian, tetapi juga membantu membina sistem penjagaan kesihatan yang lebih adil, kukuh dan boleh boleh diakses oleh setiap rakyat  dan ini mencerminkan kesiapsiagaan klinikal serta permintaan daripada komuniti sekitar,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Majlis pelancaran hospital ini telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

KPJKS yang memiliki 60 katil menawarkan perkhidmatan yang merangkumi pelbagai disiplin termasuk perubatan dalaman, pembedahan am, ortopedik, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, telinga, hidung dan tekak, oftalmologi, radiologi, anestesiologi, gastroenterologi dan hepatologi. 

Hospital itu juga beroperasi dengan 14 pakar perunding tetap dan lapan pakar perunding sambilan yang dibantu oleh pasukan seramai 188 kakitangan yang terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat, profesional kesihatan bersekutu serta staf sokongan.

Fasiliti ini dilengkapi sepenuhnya dengan infrastruktur diagnostik dan rawatan terkini, termasuk sistem MRI 1.5 Tesla, pengimbas CT 160-slice, mamografi digital serta Sistem Super Inductive untuk terapi pengurusan kesakitan bukan invasif yang menggunakan medan elektromagnet intensiti tinggi. 

Ciri-ciri utama lain termasuklah empat katil ICU, dua dewan bedah, sebuah bilik skop dan katil penjagaan harian khas. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |