Remaja 13, 14 tahun mangsa baharu kes sumbang mahram di Kelantan

2 days ago 11

KOTA BHARU – Dua remaja perempuan di Tanah Merah dan Kuala Krai dekat sini tampil membuat laporan polis baru-baru ini selepas menjadi mangsa sumbang mahram kepada bapa dan dua bapa saudara mereka sejak tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kedua-dua mangsa itu membuat laporan polis selepas membaca pendedahan beliau di media mengenai peningkatan kes sumbang mahram yang berlaku di Kelantan pada minggu lalu.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, salah seorang mangsa berusia 13 tahun manakala seorang lagi berusia 14 tahun.

“Bagi kes Tanah Merah, mangsa mendakwa dirogol bapa dan dua bapa saudara manakala kes Kuala Krai pula melibatkan kes sumbang mahram dengan bapa.

“Kedua-dua mangsa mendakwa mereka menjadi mangsa rogol oleh ahli keluarganya sendiri sejak tahun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Konsortium E-Mutiara-Semesra Syawal di sebuah hotel di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, keempat-empat suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an itu sudah ditangkap untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, kedua-dua mangsa sebelum ini takut untuk membuat laporan polis mengenai kejadian menimpa mereka.

“Selepas membaca laporan mengenai kes sumbang mahram yang didedahkan oleh saya pada minggu lalu, mangsa sendiri tampil membuat laporan terhadap kejadian yang menimpa mereka,” ujarnya.

Menurut Mohd. Yusoff, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, dua remaja hamil selepas masing-masing melakukan perbuatan sumbang mahram dengan sepupu dan bapa saudara di lokasi berasingan di Kelantan baru-baru ini.

Mohd. Yusoff berkata, siasatan mendapati, kedua-dua kejadian itu berlaku selepas remaja perempuan meminta untuk melakukan perhubungan dengan saudara mereka sendiri.

Menurutnya, kes pertama dilaporkan berlaku melibatkan remaja berusia 15 tahun yang mengandung selepas melakukan perbuatan sumbang mahram dengan sepupunya yang berusia 11 tahun.

“Kita terkejut apabila menerima laporan daripada ibu bapa remaja itu yang mengatakan anak mereka hamil hasil hubungan dengan sepupunya. Lebih mengejutkan, remaja tersebut yang meminta untuk melakukan hubungan itu.

“Satu lagi kes melibatkan remaja berusia 13 tahun yang hamil hasil perhubungan dengan bapa saudaranya yang berusia dalam lingkungan 20-an. Kedua-dua kes sumbang mahram ini sama iaitu remaja perempuan mengajak saudara mereka untuk tidur bersama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |