Potensi besar syarikat, pelabur China teroka peluang di Malaysia

2 days ago 11

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim percaya Malaysia dan China akan terus memperkasakan kerjasama kedua-dua negara, walaupun wujud pelbagai jurang geopolitik seantero dunia.

Sultan Ibrahim bertitah, Malaysia menitik berat integrasi ekonomi lebih mendalam, pengukuhan kolaborasi rantaian bekalan dan perindustrian, peningkatan ketersambungan, serta menegakkan prinsip hormat dan manfaat bersama dalam penglibatan dengan semua rakan kongsi, termasuk China.

“Saya percaya terdapat potensi besar untuk syarikat dan pelabur China untuk meneroka peluang di sini kerana ia selari dengan kepentingan ketersambungan serantau dan pembangunan berkualiti tinggi di bawah Inisiatif ‘Belt and Road’ oleh China.

“Dengan insentif strategik yang kukuh serta lokasi yang baik, Hab Kewangan Khas Forest City di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah muncul sebagai antara lokasi pelaburan utama rantau ini,” titah baginda yang turut dikongsikan pada Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika berucap pada pertemuan bersama Tuan Yang Terutama (TYT) Xi Jinping, Presiden Republik Rakyat China, di Istana Negara hari ini sempena lawatan negara ke Malaysia.

Baginda turut berkenan menjemput Kerajaan China untuk mempromosikan pertukaran bahasa antara kedua-dua negara.

“Jumlah pertukaran pelajar antara negara kita telah meningkat dan kita berhasrat untuk menghantar lebih ramai lagi penuntut kita ke China untuk bertukar ilmu kebudayaan seiring dengan pembelajaran mereka.

“Saya percaya bahasa adalah jambatan penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala. Ke arah ini, saya berhasrat untuk giat mempromosikan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University (BFSU),” titah Seri Paduka Baginda.

Terdahulu, Jinping diberi sambutan negara di Istana Negara pada pagi tadi, sempena Lawatan Negara selama tiga hari bermula semalam atas jemputan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Ibrahim berkenan menyambut ketibaan Jinping pada pukul 10.30 pagi.

Sambutan negara turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof selain menteri-menteri Kabinet.

Semalam Kosmo! melaporkan, lawatan negara Jinping ke Malaysia dibuat atas undangan Yang di-Pertuan Agong, sekali gus dilihat bakal memperkukuhkan hubungan diplomatik dan perdagangan antara Putrajaya dan Beijing.

Beliau turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Anwar untuk berbincang mengenai kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman, Perjanjian dan Nota antara Malaysia dengan China.

Untuk rekod, China terus menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut dengan jumlah dagangan antara Malaysia dan China bernilai RM484.12 bilion pada tahun 2024.

Kali terakhir Jinping melawat Malaysia adalah pada Oktober 2013 bagi lawatan negara selama tiga hari. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |