Lelaki muat naik video hina PM dituduh di mahkamah minggu depan

2 days ago 10

KOTA BHARU – Seorang pekerja stesen minyak yang ditahan selepas memuat naik video menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi aplikasi TikTok baru-baru ini dijangka akan dihadapkan ke mahkamah pada minggu depan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan berhubung kes tersebut sudah selesai dan polis sedang menunggu laporan penuh daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, siasatan mendapati, suspek merupakan warga tempatan meskipun nama akaun TikTok miliknya dikaitkan dengan sebuah negara.

“Kita sedang menunggu laporan MCMC untuk tindakan lanjut dan lelaki itu dijangka akan dituduh pada minggu depan.

“Siasatan turut mendapati, suspek tidak mewakili mana-mana parti politik dan tindakan memuat naik video itu hanya bermotifkan peribadi,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Konsortium E-Mutiara-Semesra Syawal di sebuah hotel di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, suspek yang mengaku bersalah atas pertuduhan menyimpan video dan gambar lucah di Mahkamah Majistret Bachok dekat sini semalam turut membayar denda sebanyak RM4,000 yang ditetapkan mahkamah.

Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang lelaki ditahan selepas memuat naik video yang mendatangkan aib terhadap Perdana Menteri menerusi aplikasi TikTok baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan pada 11 April lalu mendakwa suspek turut menghasut rakyat setempat supaya tidak menyertai Majlis Sambutan Aidilfitri Madani.

Katanya, siasatan mendapati lelaki berusia 25 tahun itu menggelarkan Perdana Menteri dengan jolokan nama yang memalukan dan mengaibkan.

“Polis menahan suspek dan merampas telefon untuk siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Pemeriksaan lanjut terhadap telefon bimbit suspek mendapati lelaki itu menyimpan video dan gambar lucah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |