KOTA BHARU – Perbuatan maksiat seorang remaja perempuan dengan lelaki terbongkar selepas bapanya yang merupakan pegawai polis di Kelantan menjumpai video perlakuan seksual mereka semasa memeriksa telefon remaja tersebut baru-baru ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff berkata, pegawai polis itu terlintas untuk memeriksa telefon anaknya selepas pendedahan beliau mengenai peningkatan jenayah seksual di negeri ini pada minggu lalu.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam telefon pintar anaknya yang berusia 14 tahun kemudian menjumpai video perlakuan seksual bersama dengan seorang remaja lelaki.
“Selepas saya membuat pendedahan pada minggu lalu, pegawai polis itu terpanggil untuk membuat semakan terhadap telefon anaknya. Dia terkejut apabila mengetahui anaknya terlibat dengan kegiatan seksual.
“Pegawai polis itu terus membuat laporan berhubung kejadian yang melibatkan anaknya dan kita sedang menyiasat kes tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Konsortium E-Mutiara-Semesra Syawal di sebuah hotel di sini hari ini.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan, kebanyakan kes rogol, sumbang mahram dan jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dan remaja bawah umur yang berlaku di Kelantan dalam tempoh tiga bulan pada tahun ini melibatkan kes ‘suka sama suka’.
Mohd. Yusoff berkata, kejadian seksual membabitkan kanak-kanak bawah umur di negeri ini mencatatkan sebanyak 65 kes iaitu peningkatan sebanyak 17.1 peratus pada Januari hingga Mac lalu berbanding 46 kes bagi tempoh sama pada tahun lalu.
Menurutnya, peningkatan kes-kes jenayah seksual termasuk dalam kalangan ahli keluarga dilihat sangat membimbangkan apabila ia banyak melibatkan kanak-kanak dan remaja bawah umur seawal usia 10 tahun.
“Kes-kes yang dilaporkan sebenarnya bukan melibatkan kejadian rogol yang biasa kerana ia melibatkan hubungan ‘suka sama suka’. Siasatan mendapati, dianggarkan 98 peratus daripada kesemua kes yang dilaporkan adalah persetujuan kedua-dua belah pihak.
“Apabila ia melibatkan mangsa yang berusia 16 tahun ke bawah, kes-kes tersebut diklasifikasikan sebagai rogol,” katanya. – KOSMO! ONLINE