Korea Kimchi Festival 2025 padat dengan aktiviti promosi menu, budaya tradisional

2 months ago 31

PETALING JAYA – K-Plus Food Market milik syarikat KMT Group of Companies (KMT) aktif menganjurkan pelbagai aktiviti mempromosikan makanan dan kebudayaan Korea kepada rakyat di negara ini.

Sejak tiga tahun beroperasi di Malaysia, pasar raya yang menjadi tumpuan pengunjung di sebuah pusat beli-belah di sini menjadikan November sebagai bulan Kimchi.

Ini adalah bersempena sam­butan Hari Kimchi setiap 22 November setiap tahun di Korea.
Tarikh tersebut dipilih bagi melambangkan 11 bahan dalam kimchi dan manfaatnya kepada kesihatan selain untuk mempromosikan kebudayaan serta memupuk semangat komuniti dengan melakukan aktiviti membuat kimchi.

Pengerusi KMT, Datuk Matthew Lee berkata, bagi rakyat Korea, kimchi bukan sekadar makanan, tetapi lambang sejarah, kesabaran dan teknik fermentasi yang diwarisi turun-temurun.

Sehubungan itu pihaknya berbesar hati memperkenalkan hidangan kebanggaan Korea kepada rakyat Malaysia dan mahu mereka menikmati rasa dan kepelbagaian kimchi.

“Kimchi diperbuat daripada pelbagai sayuran dan menggunakan pelbagai jenis sos, kimchi adalah makanan utama dan menjadi sebahagian daripada kehidupan orang Korea.

“Mereka makan kimchi hampir setiap hari dengan pelbagai hidangan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas acara demonstrasi dan kelas pembuatan kimchi secara langsung bersama Madam Yoo Jung Im, First Certified Kimchi Master dari Korea di di sini baru-baru ini.

Ini adalah sebahagian daripada Korea Kimchi Festival 2025 yang sedang berlangsung di K-Plus Food Market sehingga 16 November ini.

Program tersebut adalah anjuran Korea Agro-Fisheries & Food Trade Corporation (aT Center) di bawah Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar Korea (MAFRA), serta kerjasama KMT Food & Beverage Sdn. Bhd.

Aktiviti ini bertujuan mengukuhkan hubungan budaya dan kulinari antara Korea dan Malaysia sambil memperkenalkan keaslian serta manfaat kesihatan hidangan tradisional yang kian mendapat tempat di hati rakyat.

Turut diadakan pada ruang legar pusat beli-belah itu adalah pameran dan sesi rasa pelbagai jenis kimchi premium yang dihasilkan dengan bahan berkua­liti tinggi yang dibawa terus dari Korea serta dijual pada harga promosi istimewa.

Zon budaya interaktif yang membawa pengunjung menyusuri perjalanan kimchi dari kaedah pengawetan zaman silam hingga pengiktirafannya sebagai superfood dunia kaya probiotik dan antioksidan.

Bagi penggemar makanan, festival ini juga membuka ruang untuk memahami bahawa kimchi juga boleh dijadikan bahan utama dalam sup, stew, nasi goreng dan pelbagai hidangan fusion moden.

Selepas acara utama di pusat belah tersebut, promosi kimchi akan diteruskan di seluruh negara melalui rangkaian pasar raya utama seperti AEON dan pasar raya lain sehingga 23 November ini. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |