PETALING JAYA – Menjadi kegilaan anak muda, kumpulan Imsoniacks bakal mengadakan konsert solo pertama mereka, Insomniacks: Echoes Of A Dream di Zepp KL pada 12 Julai depan.
Memahat nama sejak 10 tahun lalu, konsert Insomniacks yang dianggotai Syed Mir Iqbal atau Iqie selaku vokalis, Wan Arif Iskandar (pemain bes), dan Danial Lee Hashim (pemain gitar) bakal mencipta sejarah baharu buat kumpulan tersebut.
Menurut Pengarah Urusan SAH Entertainment iaitu Sufi Rashid selaku penganjur, penjualan tiket dengan harga mampu milik merupakan salah satu cara penghargaan Imsoniacks buat para peminatnya yang selama ini tidak pernah berhenti memberi sokongan.
“Ini akan menjadi satu detik bersejarah buat Insomniacks sendiri kerana konsert solo pertama mereka.
“Untuk jualan tiket pula, kami sepakat menawarkan harga mampu milik agar patra peminatnya mencipta detik terindah bersama pada konsert tersebut, bahkan itu antara harga paling murah pernah dijual di Zepp KL setakat ini,” katanya.
Menyingkap semula, Imsoniacks antara band yang mempunyai pengikutnya sendiri sehingga lagu-lagunya berjaya lolos dalam carta muzik Spotify.
Mereka merupakan artis Malaysia kelima paling banyak distrim di aplikasi Spotify pada 2024. Muzik diketengahkan Insomniacks mempunyai gabungan genre seperti pop, rock dan punk.
Insomniacks juga pernah mendapat pengiktirafan meluas menerusi empat lagu yang berjaya menembusi Top 10 Recording Industry Malaysia (RIM) Domestic Chart iaitu melalui lagu Pulang, Sempurna, Reminisensi dan Igauan Malam.
Harga tiket konsert Insomniacks: Echoes Of A Dream ini bermula pada RM138 (Maniacks, standing), RM168 (Sempurna, seating), RM228 (Reminisensi, seating), dan RM6888 (Pulang, VIP box).
Tiket konsert boleh dibeli melalui laman sesawang Ticketmelon bermula 5 Mei ini.
Untuk maklumat lanjut boleh hubungi SAH Entertainment melalui emel [email protected]. – KOSMO! ONLINE