KUALA LUMPUR – Enggan terus dibelit salah faham, pelakon Diana Danielle menegaskan bahawa hubungan bersama kekasihnya yang dikenali sebagai Bern bermula hanya selepas dirinya sah bercerai serta tamat tempoh idah.
Ujar Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 34, dia memilih berdiam diri sebelum ini demi mengelakkan persepsi negatif, terutama berkaitan garis masa perkenalan tersebut.
“Saya kenal dia sejak tahun lepas, tetapi saya tidak dedahkan lebih awal kerana takut orang salah faham, kononnya dia sudah hadir dalam hidup saya ketika masih bergelar isteri.
“Hakikatnya, saya langsung tidak mengenali dia sebelum habis tempoh idah. Saya bimbang mulut orang, sebab itu saya ambil langkah untuk berdiam diri dahulu,” katanya kepada HibGlam.
Menurut bintang filem Imaginur itu, pertemuan pertama berlaku secara tidak dirancang dalam sebuah majlis rumah terbuka sebelum hubungan mereka berkembang secara perlahan.
Lebih menyentuh hati, dia mengakui kini berada dalam fasa hidup baharu dengan memilih untuk menghargai insan hadir memberi sokongan dan kasih sayang.
“Kami bertemu di sebuah rumah terbuka. Dari situ, kami ambil masa untuk saling mengenali sebelum mengisytiharkan hubungan sebagai pasangan.
“Dulu saya terlalu memikirkan apa orang akan kata, tetapi sekarang saya bangga memiliki dia sebagai pasangan. Dia lelaki baik, dihormati dan disenangi ramai.
“Saya mahu meraikan fasa ini. Saya cuma mahu menghargai orang yang menjaga dan menyayangi saya, sebagaimana saya menyayangi mereka,” ujarnya pada majlis rumah terbuka raya filem Terbang, di sini, hari ini.
Dalam masa sama, ibu kepada dua cahaya mata itu turut berkongsi bahawa ibunya sudah mula bertanya tentang perancangan masa depan termasuk soal perkahwinan.
“Mak saya tadi pun sudah bertanya bila kami hendak berkahwin. Mungkin sebab hari ini semua ahli keluarga berkumpul.
“Tetapi bagi saya, kami masih belum sampai ke tahap itu. Masih banyak masa perlu diberi kepada diri sendiri dan anak-anak sebelum melangkah ke fasa lebih serius,” jelasnya.
Terdahulu, Diana semakin terbuka berkongsi kisah peribadi apabila mengesahkan lelaki sering menemaninya merupakan teman istimewa sejak tahun lalu.
Untuk rekod, Diana pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor Farid Kamil pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad serta Nur Aurora.
Pasangan itu pernah bercerai secara dalam talian pada 10 Ogos 2023 sebelum kembali rujuk, namun berpisah buat kali kedua dengan talak satu pada 23 Mac 2025. – HIBGLAM

3 hours ago
3













![[VIDEO] ‘Di kala PMX pesan jimat cermat, open house tetap on’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/jalan-sesak.jpeg)
![[VIDEO] ‘Terima kasih pinjamkan Amirul Ashraf’, bapa setia hingga ke liang lahad](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/lemas.jpeg)


































