CAMERON HIGHLANDS – ‘Koloni’ warga asing yang membentuk komuniti tersendiri serta memonopoli premis perniagaan dan kawasan pertanian di sini sejak bertahun-tahun akhirnya digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Gempur hari ini.
Operasi dilaksana JIM bermula pukul 11 pagi hingga 2 petang dibahagikan kepada empat zon utama sekitar Cameron Highlands dengan tumpuan kepada bangunan komersil yang dijadikan penempatan dan tempat bekerja serta kawasan ladang.
Tinjauan mendapati ‘koloni’ berkenaan sebahagian besarnya terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal yang menetap, bekerja serta menguruskan aktiviti pertanian secara meluas.
Sebaik menyedari kehadiran anggota JIM, ada sebahagian warga asing melarikan diri termasuk ada diantara mereka pura-pura tidur di dalam kereta dan memanjat bumbung bangunan bagi elak dari ditahan pihak berkuasa.
Dalam operasi itu, terdapat beberapa individu cedera ketika cuba melarikan diri dan menerima rawatan kecemasan daripada petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Antara ditahan ialah warga Bangladesh, Sardar Sujan, 33, yang ditemui menyorok dalam tandas kerana bimbang ditahan pihak berkuasa.
“Saya datang empat bulan lalu…visa saya mati bulan lepas. Saya bekerja sebagai buruh di sebuah kebun dengan upah sebanyak RM75 sehari,” katanya.
Hasil beberapa maklumat yang diperoleh wartawan Kosmo! juga mendapati terdapat diantara warga asing membayar sebanyak RM12,000 kepada ejen di negara mereka bagi memasuki ke negara ini.
Antara alasan mereka memilih negara ini adalah kerana kos sara hidup lebih rendah berbanding bekerja di negara maju lain.
Sementara itu, pengusaha kebun, Khor Thiam Bee, 60, berkata warga asing yang menetap di kawasan ini telah memonopoli perniagaan terutama di pasar malam.
“Susah kita warga tempatan untuk melakukan perniagaan, hampir semua psar malam di sini dimonopoli oleh warga asing,” katanya.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, warga asing yang menetap di sini percaya kawasan ini tidak akan diserbu ekoran jauh dari ibu kota.
“Mereka rasa mungkin penguatkuasa agak sukar untuk mengejar mereka dan sebagainya.
“Jadi itu mungkin juga menjadi faktor (mereka menetap secara beramai-ramai di sini). Kita tidak berkompromi dalam sebarang usaha membawa masuk pendatang-pendatang asing tanpa izin ke negara kita”, tegasnya. – KOSMO! ONLINE

1 week ago
19














![[VIDEO] ‘Sedihnya…Tok Wan Jagung Gurun dah tinggalkan kita’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/tok-wan-jagung.jpeg)


































