Kita lah kubu kekuatan mereka…

9 hours ago 4

SUBANG JAYA – “Ahli keluarga yang ditinggalkan ini adalah misi di balik tabir yang menjadi kubu kekuatan anggota dan pegawai Malaysian Battalion (Malbatt 850-13)”

Itu luahan Leftenan Kolonel Norihan Mahdera, isteri kepada Komander Malbatt 850-13 yang berlepas ke Lebanon dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL) hari ini.

Norihan berkata, pengorbanan keluarga yang ditinggalkan bukan sesuatu yang kecil, malah menjadi kekuatan utama wira negara di medan.

“Saya harap keluarga yang berada di belakang tabir ini bersemangat kuat untuk mengharungi setahun ini.

“Amanat ini juga untuk diri saya dan keluarga. Semoga semua anggota dan pegawai dipermudahkan urusan di kawasan misi dan berkhidmatlah untuk negara,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Udara Subang, di sini hari ini

Sementara itu, Komander Malbatt 850-13, Kolonel Mohd. Rizwan Abdullah meluahkan rasa bangga dan terharu apabila diberi amanah mengetuai misi terakhir Malaysia di Lebanon.

“Memang saya tak sangka akan jadi komander terakhir. Rasa bangga kerana tercatat dalam sejarah…pada masa sama terharu kerana peluang berbakti di bumi Lebanon,” katanya.

Menurutnya, walaupun misi terakhir, mandat kontinjen itu kekal untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan selain meningkatkan kerjasama dengan Angkatan Tentera Lebanon (LAF) serta mendekati masyarakat melalui aktiviti Civil-Military Cooperation (Cimic).

Beliau berkata, pasukan Malbatt 850-13 telah menjalani latihan intensif membabitkan darat, laut dan udara sebelum menyertai Force Integration Training (FIT) selama tujuh minggu di Port Dickson.

“Boleh dikatakan kesiapsiagaan kali ini berada pada tahap maksimum,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sarjan Nurfazlien Azmi berkata, ini merupakan penglibatannya yang kedua ke Lebanon selepas turut serta di bawah Malbatt 850-7 pada 2019.

“Bukan mudah tinggalkan keluarga, tapi saya bangga dapat kembali berkhidmat membawa bendera Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |