KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menandatangani sebanyak 66 Memorandum Kerjasama (MOC) dengan pelbagai industri tahun ini bagi meningkatkan penyertaan tenaga kerja dalam kalangan graduan.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, Kesuma melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut mempergiatkan beberapa program bagi menggalakkan penyertaan tenaga kerja di negara ini.
“Kesuma telah menandatangani MOC dengan pelbagai industri. Bagi tahun 2024, sebanyak 66 MoC telah dimeterai mencakupi pelbagai bidang dan industri.
“Ia termasuk minyak dan gas, elektrik dan elektronik, automotif, hospitaliti, pembinaan, perladangan, perabot dan telekomunikasi,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin mengenai tindakan kerajaan bagi mengatasi isu kadar guna tenaga kerja yang bekerja tidak mengikut kesesuaian kemahiran dan kelayakan.
Steven Sim berkata, program lain bagi menggalakkan penyertaan tenaga kerja termasuk melalui penyediaan platform portal MYFutureJobs dalam usaha menambah baik pemadanan antara bidang kelulusan dengan jenis pekerjaan yang ditawarkan.
Kata beliau, Kesuma turut membangunkan Sistem ‘Carrier Bridge Tool’ yang merupakan sistem berteraskan kaedah dalam talian yang membantu menghubungkan graduan dengan pekerjaan yang sepadan mengikut kelayakan mereka menerusi platform portal MYFutureJobs.
Tambah beliau, Sistem ‘Wage Guide’ yang berperanan untuk membantu graduan TVET mengenal pasti dan mengukur potensi sekali gus membuat keputusan tepat dalam pilihan kerjaya turut dibangunkan.
Ujar beliau, Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDCorp) pula menyediakan pelbagai program reskilling dan upskilling berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pelbagai disiplin cabang pekerjaan.
“Kesuma melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan HRDCorp juga melaksanakan Insentif Latihan Amali (Ilham) Kesuma bagi membantu bakat baharu dan merancakkan sektor pekerjaan negara.
“Selain itu, TalentCorp memberi fokus terhadap pembangunan kebolehpasaran dan kebolehkerjaan bakat muda negara melalui melalui sinergi dan kerjasama merentasi kementerian, jabatan, agensi kerajaan, pemain industri dan institusi pengajian tinggi awam, swasta serta teknikal.
“Antara inisiatif tersebut adalah Program Pecutan Bakat Berpandukan Industri (ID-TAP) • Young Employable Student (YES): We Are Ready!,” katanya. – KOSMO! ONLINE