ALOR GAJAH – Kerajaan akan meneliti semula isu dwi kerakyatan yang masih berlaku di kawasan sempadan Malaysia–Thailand bagi tujuan keselamatan negara, susulan insiden tembakan membabitkan rakyat Malaysia di Sungai Golok, Narathiwat minggu lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu diambil selepas polis mengesahkan suspek utama kes berkenaan dipercayai memiliki dua kewarganegaraan.
“Malaysia tidak mengiktiraf dua kerakyatan. Jika ada situasi sedemikian, individu terlibat mesti memilih satu kerakyatan sahaja. Sudah tiba masanya kita menilai semula keadaan ini dan mencari formula terbaik.
“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menyemak rekod sedia ada dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand,” katanya pada Majlis Konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) RELA 2025 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, hari ini.
Menurut Saifuddin, isu tersebut merupakan legasi lama di kawasan sempadan, namun memerlukan perhatian semula supaya tidak mengundang risiko keselamatan pada masa depan.
Katanya, semakan akan dilaksanakan melalui platform rasmi antara dua negara termasuk Jawatan Kuasa Pengurusan Sempadan Malaysia–Thailand bagi memastikan ketelusan maklumat serta penyelarasan keselamatan.
“Kita tidak boleh membuat semakan sebelah pihak (sebaliknya) perlu mendapatkan kerjasama daripada negara jiran.
“Hubungan kita dengan Thailand memang baik dan banyak mesyuarat berkala diadakan melalui jawatan kuasa keselamatan sempadan jadi kita akan ketengahkan perkara ini dalam peringkat kementerian,” ujarnya.
Terdahulu, pada 1 November Kosmo! melaporkan seorang lelaki Malaysia, Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, maut ditembak di sebuah rumah di Sungai Golok.
Suspek dikenal pasti sebagai bekas penjaga gol Kelantan FA yang memiliki dua kerakyatan.
Komander Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha berkata, siasatan lanjut mendapati, suspek secara bersama melakukan pembunuhan terancang, memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen. – KOSMO! ONLINE

9 hours ago
4










![[VIDEO] Isteri Prince Syed masuk hospital tiada kaitan komplikasi bariatrik](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Dr.-Abdul-Gafoor-ketika-mengulas-mengenai-keadaan-Fatin-Syazwani-di-TikToknya-semalam..jpeg)






![[VIDEO] Pengawal sekolah dirai besar-besaran pada majlis persaraan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Tangkap-layar-memaparkan-hantaran-oleh-@Kak-Rock-Laa-di-laman-TikTok.jpeg)






























