Kes rasuah Syed Saddiq didengar Mac tahun depan

1 month ago 49

PUTRAJAYA – Pendengaran rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap sabitan dan hukuman berkaitan kesalahan rasuah yang dihadapinya akan didengar selama dua hari di Mahkamah Rayuan di sini pada 19 dan 20 Mac tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mohd. Khairi Haron.

“Mahkamah turut menetapkan 4 Mac 2025 sebagai tarikh akhir bagi kedua-dua pihak untuk mengemukakan hujahan bertulis masing-masing. Mahkamah turut menetapkan 15 Januari untuk pengurusan kes bagi mengetahui status lengkap rekod rayuan,” katanya.

Sebelum ini, Syed Saddiq , 32, dalam satu kenyataannya memaklumkan akan memulakan proses rayuan selepas menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Syed Saddiq berkata beliau telah mengarahkan pasukan peguamnya, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik untuk segera melengkapkan rayuan tersebut.

Terdahulu, dalam penghakiman yang dikeluarkan pada 28 November lalu, Mahkamah Tinggi berpendapat, tindakan Syed Saddiq mengarahkan pengeluaran wang RM1 juta tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia,
(Bersatu) merupakan satu kesalahan pecah amanah.

Selain itu, mahkamah turut berpendapat tindakan tertuduh menyimpan dan membahagikan wang tunai yang dikeluarkan, tanpa disimpan di suatu tempat yang selamat di pejabat Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) juga menimbulkan satu inferens niat jahat (bad faith).

Pada 9 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan tersebut.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta manakala bagi dua kesalahan pengubahan wang haram masing-masing dipenjara dua tahun dan denda RM5 juta.

Jika gagal membayar denda,Syed Saddiq boleh dipenjara empat tahun.

Bagaimanapun ada 9 November 2023, Hakim Azhar membenarkan Syed Saddiq menangguhkan pelaksanaan semua hukuman manakala syarat jaminan dikekalkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |