KUALA LUMPUR – Siang bergelar pelajar, malam pula melayani pelanggan di restoran makanan segera.
Begitulah rutin harian Vikneswaran A/L Nasam, 21, yang kini membuktikan kerja separuh masa bukan alasan untuk gagal apabila diumum sebagai penerima Anugerah Chef Harapan.
Anugerah tersebut diberikan semasa berlangsungnya Majlis Konvokesyen Institut Makanan Malaysia (Food Institute of Malaysia, FIM) 2025 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Biarpun sibuk bekerja separuh masa di restoran makanan segera berhampiran kampus FIM, graduan Diploma dalam Seni Kulinari itu tetap mampu mengekalkan prestasi akademik cemerlang dan aktif menyertai pertandingan memasak sejak semester pertama.
“Saya bekerja separuh masa untuk bantu bayar yuran agar tidak membebankan ibu bapa. Cabarannya besar, tapi saya urus masa sebaik mungkin,” katanya.
Menurutnya, pengurus di tempat kerja turut memainkan peranan penting apabila memahami jadual padatnya dan membantu menyusun waktu kerja agar tidak bertembung dengan kuliah.
“Pengurusan masa sangat penting. Saya pastikan masa belajar, kerja dan pertandingan diurus dengan disiplin,” ujarnya.
Turut mencuri perhatian dalam majlis sama ialah penerima Anugerah Dr. Mohamed Haroon, Nurbadruneesyah Ariffin, 21, graduan Diploma dalam Bakery dan Pastry, yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dengan CGPA 3.91, malah aktif menyertai pelbagai pertandingan peringkat kebangsaan.
Nurbadruneesyah mengakui kejayaannya hari ini bukan mudah, malah pernah berdepan tekanan hebat hingga tidak tidur selama tiga hari demi menyiapkan produk pertandingan.
“Saya tak masuk pertandingan untuk kalah. Tekanan sangat tinggi setiap kali bertanding, tapi saya belajar banyak benda daripada kegagalan, keletihan dan juga kemenangan,” katanya.
Dia berkata, anugerah berprestij itu menjadi bukti bahawa kerja keras dan disiplin mampu membuka jalan kejayaan, terutama bagi pelajar dalam bidang kemahiran seperti hospitaliti dan bakeri.- KOSMO! ONLINE.

2 weeks ago
19

















































