KUALA LUMPUR – Dua pengusaha kereta sewa mendakwa ‘sepasang kekasih’ menggunakan helah kemalangan kecil untuk mengelak bayaran, memeras wang dan merosakkan kereta mereka hingga menyebabkan kerugian ribuan ringgit.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Iqbal, 41, berkata seorang wanita menyewa kereta jenis Perodua Myvi miliknya dari 4 hingga 18 Oktober, namun gagal membuat pembayaran sambungan sewaan seterusnya.
“Pada 16 hingga 17 Oktober dia langsung tidak bayar. Telefon banyak kali pun tak jawab. Jadi saya ambil keputusan untuk tarik semula kereta. Bila kesan melalui Sistem Penentuan Kedudukan Sejagat (GPS), kereta itu berada di rumah pak ciknya di Seremban.
“Saya terkejut bila tengok kereta rosak keliling badan, jelas lebih daripada dua kesan kemalangan. Dia juga gagal tunjuk laporan polis,” katanya pada sidang akhbar di Biro Aduan Awam MCA, hari ini.
Menurut Iqbal, kos baik pulih kereta baharu berusia setahun itu mencecah hampir RM3,000, selain sewaan tertunggak yang dianggarkan melebihi RM1,200.
Katanya, wanita berkenaan turut meminta diskaun, tetapi sehingga kini langsung tidak membuat bayaran.
“Dia masih menghubungi saya tapi bila minta pampasan, dia cuma kata, ‘kalau nak lapor Citos sahaja dia (suspek)’. Kita sebagai mangsa tak mahu perkara macam ini berulang,” tambahnya.
Mangsa kedua yang mahu dikenali sebagai Fitri, 41, pula berkata wanita tersebut mula menyewa keretanya pada bulan September dan membayar untuk empat atau lima hari sahaja, walaupun mendakwa ingin menyewa selama seminggu.
“Pada hari ketiga, dia kata kereta kemalangan dan sudah masuk bengkel, tapi dia tak mahu beritahu bengkel mana. Lebih 24 jam kami tunggu, masih tak bagi lokasi.
“Saya kesan kereta guna GPS dan jumpa kereta itu di sebuah bengkel. Apa yang mengejutkan, dia dapat kereta ganti daripada bengkel dan kereta ganti itu pun dia buat benda yang sama dalam beberapa hari saja,” ujarnya.
Fitri berkata, wanita itu datang menyewa secara berdua, tetapi menggunakan dokumen lelaki dikatakan sebagai ‘kekasih’.
“Sewaan harian RM160… tapi dia kata dia tak pakai kereta, jadi tak perlu bayar. Satu sen pun saya tak dapat sampai sekarang,” katanya.
Menurut Fitri, kerugian keseluruhan dianggarkan sekitar RM4,000, meliputi kerosakan kira-kira RM3,000 dan sewaan tidak dibayar.
Sememtara itu, Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, sebanyak 26 laporan mangsa langgar ‘pasangan kekasih’ itu sejak Mei diterima oleh pihaknya.
Pada Mei lalu, Kosmo! melaporkan ‘sepasang kekasih’ menjadikan kemalangan kecil sebagai helah untuk memeras wang dengan menyasarkan pemandu wanita yang melalui lorong sempit dan kawasan sunyi.
Difahamkan, mereka sengaja melanggar atau membiarkan dilanggar sebelum berpura-pura menjadi ‘mangsa kemalangan’ dan mendesak mangsa supaya membayar pampasan di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

1 week ago
21

















































