PUTRAJAYA- Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana diputuskan dalam Permohonan Semakan
Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia.
Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan berkata, Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Kerajaan Persekutuan akan memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri hari ini bagi membincangkan berkenaan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terkait Pemberian Khas Negeri Sabah itu.
“Pada mesyuarat sama, Peguam Negara telah memberikan nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung kecacatan dalam Alasan Penghakiman tersebut.
“Antaranya dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan Perlembagaan.
“Dakwaan ini bakal membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sejak
tahun 1974,” katanya.
Jabatan Peguam Negara berkata, selain itu, Alasan Penghakiman juga menyatakan bahawa Kajian Semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur dan tidak berkadaran.
“Kerajaan Persekutuan akan merayu berhubung kecacatan dalam Alasan Penghakiman tersebut,” katanya.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah membenarkan permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) dan mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan semakan kadar pemberian khas tersebut dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.
Mahkamah turut membatalkan sebahagian keputusan yang terkandung dalam tiga Warta Persekutuan, masing-masing bertarikh 20 April 2022, 24 Disember 2023 dan 27 Ogos 2025 kerana didapati bercanggah dengan kedudukan Perlembagaan mengenai pemberian khas Sabah. – KOSMO! ONLINE

2 weeks ago
17

















































