Kerajaan serius tangani tekanan dihadapi rakyat ekoran konflik di Asia Barat

8 hours ago 7

BAGAN DATUK – Kerajaan memandang serius tekanan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup yang membelenggu rakyat susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai usaha giat dilaksanakan bagi merangka penyelesaian menyeluruh dalam menangani impak konflik tersebut termasuk mengadakan mesyuarat secara mingguan.

Katanya, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diadakan bersama peneraju industri itu bertujuan membolehkan kerajaan mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai situasi semasa.

“Kerajaan berusaha sedaya upaya mencari jalan mengatasi permasalahan ini di mana MTEN diadakan setiap minggu dengan memanggil peneraju-peneraju industri mengikut sektor masing-masing untuk memberikan taklimat dan pandangan kepada ahli-ahli.

“Pandangan tersebut akan diambil kira sebagai asas kepada langkah yang akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Naib Presiden MIC, Tan Sri M Ramasamy dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Mengulas lanjut beliau berkata, taklimat harian turut diadakan secara langsung bagi memastikan segala maklumat terkini dapat disampaikan kepada seluruh rakyat.

Katanya, semua pihak diharap keluar daripada zon selesa kerana situasi yang dihadapi ketika ini merupakan satu krisis sebenar yang memerlukan perhatian serius.

“Jika ada yang merasakan ini adalah krisis biasa, saya harap mereka tidak terus berada di zon selesa kerana apa yang dihadapi kini adalah krisis yang sebenar,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 14,000 pengunjung daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang kaum membanjiri majlis rumah terbuka tersebut dengan ada daripada mereka hadir seawal pukul 6.30 petang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |