KUALA LUMPUR – Kerajaan membelanjakan hampir RM500 juta bagi pengurusan banduan termasuk banduan dalam kalangan warga asing tahun lalu berdasarkan rekod Jabatan Penjara Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk.Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak RM490.2 juta telah dibelanjakan pada tahun 2024, manakala RM433.6 juta digunakan sehingga 26 September tahun ini.
Menurut beliau, perbelanjaan itu meliputi kos pengurusan, utiliti, keperluan asas, makanan, perkhidmatan kesihatan, pengiring mahkamah dan hospital serta program pemulihan dan reintegrasi.
“Sebanyak 355,604 kemasukan banduan direkodkan pada tahun 2024 terdiri daripada 263,412 warganegara dan 92,192 bukan warganegara
“Bagi tempoh hingga 24 September, 278,272 kemasukan direkodkan membabitkan 199,463 warganegara dan 78,809 bukan warganegara,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.
Saifuddin Nasution berkata, berdasarkan rekod Jabatan Penjara Malaysia, kebanyakan banduan berusia antara 31 hingga 40 tahun dengan majoriti menjalani hukuman antara satu hingga enam tahun.
Kata beliau, berdasarkan kategori hukuman pula, daripada 355,604 banduan pada 2024, seramai 225,961 banduan reman, manakala 129,643 banduan sabitan.
“Dalam kumpulan reman, 176,625 adalah warganegara dan 49,336 bukan warganegara, manakala bagi banduan sabitan, 86,787 adalah warganegara dan 42,856 bukan warganegara
“Bagi tahun 2025, 174,356 adalah banduan reman dan 103,916 banduan sabitan,” katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, Jabatan Penjara Malaysia tetap komited memastikan kebajikan, kesihatan dan pengurusan banduan dilaksanakan dengan berkesan.
Jelas beliau, tumpuan turut diberikan kepada pengukuhan pemulihan, pembangunan sahsiah, kesejahteraan mental serta peluang reintegrasi yang berkesan. – KOSMO! ONLINE

20 hours ago
4














![[VIDEO] Terlepas ‘ajal’ sesaat, ramai tertanya apa amalan abang motosikal](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-18-at-9.11.15-PM.jpeg)


































