MIRI – Seorang lagi mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit di sini ditemui kira-kira pukul 8.55 pagi menjadikan jumlah kematian kini seramai dua orang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa kedua merupakan seorang wanita dewasa dengan tiga lagi dikhuatiri masih tertimbus dalam runtuhan tanah yang berlaku awal pagi hari ini.
“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan pada puk 10.53 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh paramedik,” katanya dalam kenyataan.
Setakat ini, dua mangsa disahkan meninggal dunia dengan mangsa pertama iaitu remaja lelaki dijumpai pada pukul 6 pagi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.58 pagi itu, dua buah rumah telah ditimbus tanah runtuh iaitu Lot 287 A yang didiami tujuh penghuni dan Lot 287 B yang didiami lima penghuni.-KOSMO! ONLINE