Kejohanan kedua bakal lonjak nama ABKL

10 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Komuniti digital tempatan, Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL) memiliki misi lebih besar apabila memiliki perancangan untuk menganjurkan Adik Beradik Tournament Arena 2026 November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ABKL, Muzammil Mudzakir menjelaskan, kejohanan berasaskan permainan video terkenal, Grand Theft Auto (GTA) itu merupakan kesinambungan atas kejayaan penganjuran ABKL Exprerience 2025 lalu.

Tambah Muzammil, pengalaman daripada penganjuran ABKL Experience menjadi asas cukup penting bagi merangka kejohanan berskala lebih besar dan tersusun sepanjang tahun ini.

“Kalau ikutkan, ini (Tournament Arena) merupakan kejohanan kedua kami kerana sebelum ini kami sudah menganjurkan ABKL Experience 2025 dan dari situ kami dapat banyak ilmu serta pengalaman untuk 2026.

“Kami mahu fokus kepada konsep pertarungan antara komuniti sendiri, iaitu satu elemen yang lebih dekat dengan ekosistem kami,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ABKL 2026 di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah ikon ABKL yang juga bekas pelumba Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Pada masa sama, beliau turut menjelaskan persiapan untuk kejohanan sedang giat dijalankan ketika ini meliputi aspek sistem serta perancangan keseluruhan selain bakal menampilkan konsep 10 lawan 10 dengan penyertaan terhad kepada kumpulan terbaik.

“Kami masih berada pada fasa persiapan dari segi sistem dan perancangan. Jika tidak ada sebarang halangan, kejohanan ini dijadualkan berlangsung pada November 2026.

“Kita sasarkan penyertaan kepada 10 terbaik sahaja dan tidak semua pemain akan terlibat dalam kejohanan ini,” ujar Muzammil.

Penganjuran kejohanan itu dilihat sebagai langkah awal ABKL bagi mengukuhkan jenama sebagai antara komuniti digital paling berpengaruh di Malaysia serta membuka ruang kepada pembangunan ekosistem e-Sukan tempatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |