PETALING JAYA – Kejohanan Badminton Allianz Media 2025 menyaksikan aksi sengit dan penuh semangat kesukanan daripada 11 pasukan yang mengambil bahagian.
Menampilkan format dua beregu lelaki dan satu beregu campuran, kejohanan edisi tahun ini menjadi milik pasukan New Straits Times (NST) yang menewaskan juara bertahan Astro 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di TT Sports Centre, di sini semalam.
Tempat ketiga pula menjadi milik Sin Chew Daily selepas menewaskan pencabar lain dalam perebutan podium, manakala agensi berita Bernama berjaya membawa pulang kejuaraan kategori Plate.
Turut menyetai kejohanan kali ini adalah Media Mulia yang tampil dengan semangat kesukanan tinggi.

Edisi kelima kejohanan tahun ini menghimpunkan 11 pasukan media tempatan yang bertanding dalam suasana penuh kemeriahan dan semangat persahabatan.
Format pertandingan menggunakan sistem pusingan robin membabitkan dua kategori Beregu Lelaki dan satu kategori Beregu Campuran.
Pasukan tuan rumah, Allianz Malaysia, turut menyertai kejohanan, sementara Astro Arena dan Sin Chew Daily membuat penampilan sulung mereka.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang, yang juga kapten pasukan Allianz, acara ini bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat dalam sukan, tetapi turut menjadi platform mempererat hubungan dalam kalangan warga media.
“Ini acara yang saya nantikan setiap tahun kerana memberi peluang untuk kami berinteraksi dengan rakan-rakan media di luar waktu kerja,” katanya.
Kejohanan tahunan ini diteruskan dengan matlamat membudayakan gaya hidup sihat dan memperkukuh jaringan kerjasama antara organisasi media serta sektor korporat. – KOSMO! ONLINE