Keindahan geologi Tasik Cermin

3 days ago 6

KEJERNIHAN takungan air yang menyerupai cermin di sebuah bekas tapak kuari menjadi ilham buat nama lokasi ini sehingga menjadi destinasi tarikan utama pelancongan di Perak.

Dikenali sebagai Tasik Cermin, lokasi di bawah seliaan Majuperak Holdings Berhad (MHB) itu turut dikenali sebagai salah satu ‘Ipoh Hidden Gems’ hingga menerima pelbagai pengiktirafan pelancongan dari dalam dan luar negara.

Pengerusi Eksekutif MHB, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, pihaknya mentransformasi Tasik Cermin daripada bekas kuari kepada ikon pelancongan. .

Ujarnya, salah satu warisan geologi di Lembah Kinta itu bukan sahaja mempunyai nilai estetik yang tinggi, malah memiliki nilai sejarah. 

“Tasik Cermin dahulunya merupakan bekas kuari yang menjadi antara penyumbang utama ekonomi negara dalam perlombongan dan industri timah.

SALAH satu ‘spot’ menarik untuk para pelawat bergambar di Tasik Cermin.

“Namun kini, ia telah dibangunkan sebagai pusat pelancongan yang berupaya membawa pengalaman unik  kepada pelawat.

“MHB bersama rakan strategik, STG World Sdn. Bhd. (STG) berusaha membangunkan Tasik Cermin sebagai lokasi pelancongan yang memberi keindahan alam semula jadi.

“Malah, lokasi ini boleh menjadi penyumbang kepada ekonomi negeri secara keseluruhannya,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, destinasi geopelancongan, Tasik Cermin mempunyai tiga tarikan gua iaitu Tasik Cermin 1, Tasik Cermin 2 dan Gua Mulut Ular. 

Sejak beroperasi pada tahun 2022, pihak MHB bersama STG sentiasa memastikan akses dan kemudahan yang selesa kepada pengunjung.

“Antaranya, menyediakan laluan jalan masuk berturap, parkir mencukupi, tandas, surau dan menambah baik fasiliti dan perkhidmatan dari semasa ke semasa. 

Pihak operator juga sentiasa memastikan persekitaran dijaga memandangkan lokasi itu berusia sekitar 250 juta hingga 480 juta tahun yang diwartakan sebagai antara destinasi dalam Geopark Lembah Kinta. 

Kejayaan Tasik Cermin merupakan pengiktirafan di atas usaha MHB dalam mengetengahkan kecemerlangan dan merancakkan industri pelancongan.

PELAWAT boleh bersiar-siar menggunakan bot di sekitar Tasik Cermin.

Malah, ia akan menjadi motivasi untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan, sekali gus menjadikan Tasik Cermin lebih mudah diakses dan menyeronokkan kepada semua pelancong.

Keindahan pemandangan Tasik Cermin turut mendapat pengiktirafan menerusi Anugerah Destinasi Pelancongan Mesra Muslim oleh Islamic Tourism Centre (ITC) dan The Best Accessible Tourism Initiative Award sempena Anugerah Pelancongan Perak 2024.

Kongsi Redza Rafiq lagi, selain kelestarian alam, komitmen MHB secara kolektif dalam aspek kualiti, kebersihan dan kemudahan mesra pengunjung juga amat dititikberatkan. 

“Tasik Cermin bukan sahaja destinasi popular, malah ia merupakan ikon kepada Ipoh sambil meraikan keunikan dan keindahan alam semula jadi di Malaysia.

“Tasik Cermin menawarkan pakej-pakej yang bersesuaian mengikut pelbagai peringkat umur.

“Sepanjang tahun 2025, lebih banyak aktiviti outdoor dan program-program menarik bakal dianjurkan,” ujarnya.

Katanya lagi, antara aktiviti yang disediakan adalah ATV, Perak Food Fiesta, Hari Geologi Sedunia, Tasik Cermin Run dan sebagainya untuk dinikmati oleh para pengunjung.

Tasik Cermin telah menarik lebih daripada 500,000 pelawat setakat Disember tahun lalu. 

Pada tahun ini, destinasi itu menyasarkan 1 juta pengunjung yang dijangka menyumbang secara signifikan kepada pembangunan komuniti tempatan dan ekonomi negeri. 

Read Entire Article
Pertanian | | | |