Kedah mohon KKM sedia penawar sengatan ubur-ubur di Langkawi

1 week ago 17

ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah memohon kepada Kementerian Kesihatan (KKM) supaya menyediakan penawar (antidote) sengatan ubur-ubur di Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, terdapat keperluan agar penawar tersebut disediakan di HSM walaupun kejadian seumpama itu jarang berlaku.

Katanya, risiko tetap ada kerana Langkawi memiliki kawasan pantai yang luas.
“Saya sudah berbincang perkara ini dengan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Kedah. Di negeri ini termasuk di Langkawi tiada penawar itu, yang ada hanya di beberapa tempat lain termasuk Sabah.

“Jadi kita akan panjangkan perkara ini kepada KKM supaya penawar ini dapat ditempatkan juga di Langkawi, sebab Langkawi juga ada kawasan pantai seperti di Sabah,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Beliau sebelum itu bertemu ibu bapa kepada kanak-kanak Russia yang mati disengat ubur-ubur kotak Rabu lalu selepas diserang hidupan laut itu ketika mandi di Pantai Chenang.

Vladimir Iakubanets yang berusia dua tahun disahkan meninggal dunia di HSB selepas lima hari menerima rawatan akibat serangan ubur-ubur kotak.

Tambahnya, satu perjumpaan bersama semua agensi terlibat akan diadakan pada Isnin ini bagi membincangkan secara khusus mengenai keselamatan pantai.

“Kita juga akan melibatkan pakar-pakar untuk membuat kajian tambahan tentang ubur-ubur ini kerana keselamatan semua pengunjung tanpa mengira pelancong luar atau tempatan adalah keutamaan kita.

“Walaupun insiden sengatan ubur-ubur yang meragut nyawa ini kes terpencil, kerajaan negeri tetap memandang serius kerana Langkawi dikunjungi jutaan orang setiap tahun dan Langkawi tetap selamat untuk dilawati,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |