SEBERANG PERAI – Sebanyak 10 buah motosikal disita manakala 111 saman dikeluarkan dalam operasi bersepadu samseng jalanan di sekitar kedua-dua arah Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, operasi yang bermula kira-kira pukul 6.45 petang membabitkan empat pegawai kanan dan 56 anggota.
“Kebanyakan penunggang motosikal telah bersikap agresif untuk melepaskan diri dan kita menggunakan semua cara yang dianggap munasabah untuk menahan mereka yang bertindak agresif.
“Seorang lelaki turut ditahan kerana menunggang secara berbahaya dan semua motosikal telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik SPU untuk proses siasatan serta dokumentasi,” katanya di sini. – KOSMO! ONLINE