KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) berjaya menumpaskan pelbagai kes jenayah termasuk penyeludupan haiwan dengan nilai keseluruhan rampasan hampir RM1 bilion.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kejayaan itu diperoleh melalui operasi berterusan dijalankan pasukan di bawah KDNKA sepanjang tahun ini.
Katanya, Cawangan Perisikan Siasatan Khas (WCB) menerusi Op Bersepadu Khazanah, Op Tiris, Op Kontraban dan Op E-Waste berjaya menyelesaikan 136 kes yang melibatkan 387 individu serta rampasan lebih RM434 juta.
“Cawangan ini bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan United Nation Development Programmed (UNDP) bertujuan meningkatkan kapasiti penguatkuasaan.
“Ia bagi membanteras jenayah hidupan liar dan pemuliharaan spesies haiwan ikonik khususnya Harimau Malaya di Semenanjung Malaysia, Banteng di STurutabah serta Orang Utan di Sarawak,” katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan anjuran KDNKA di Bukit Aman di sini, pagi tadi.
Selain itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) turut memberi impak positif menerusi pelbagai tangkapan dan rampasan dengan jumlah keberhasilan lebih RM279 juta.
“Seterusnya, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) pula menghasilkan RM37.1 juta melalui pelbagai rampasan dan tangkapan bagi 34 serbuan sepanjang tahun ini.
“Pasukan Polis Marin (PPM) menghasilkan RM210 juta menerusi 7,103 kes jenayah di perairan,” katanya lagi.
Menurut beliau, Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) yang dibangunkan untuk mengukur kesejahteraan rakyat dari perspektif ekonomi dan sosial menunjukkan peningkatan 0.7 peratus berbanding tahun lalu.
“Berdasarkan pelaporan bagi tahun 2023, prestasi IKRM mencatat peningkatan 0.7 peratus menjadi 121.3 mata berbanding 120.4 mata bagi tahun 2022.
“Sungguhpun begitu, salah satu komponen dalam subkomposit sosial iaitu Indeks Keselamatan
Awam didapati merosot 1.7 mata kepada 127.6 mata pada tahun 2023 berbanding 129.3 mata pada tahun 2022,” ujarnya.
Jelas beliau, penurunan terbabit disebabkan oleh peningkatan bilangan kemalangan jalan raya dan kenaikan kadar jenayah.
Dalam majlis pagi ini, seramai 51 warga PDRM dianugerahkan Sijil Tolak Rasuah PDRM dan juga SPRM.
“Lebih membanggakan saya dan juga kepimpinan tertinggi PDRM, 11 orang daripada jumlah tersebut, merupakan penerima Sijil Tolak Rasuah SPRM.
“Tindakan elemen PGA menolak sogokan RM50,000 dari sindiket penyeludupan migran semasa penugasan Op Wawasan Taring di
Kelantan juga menjadi suatu kebanggaan,” ucapnya. – KOSMO! ONLINE.