KBS terkilan penganjur WWC guna kanak-kanak minta maaf

12 hours ago 3

PETALING JAYA – Menteri Belia dan Sukan meluahkan rasa sedih dan ralat terhadap tindakan penganjur Warzone World Championship (WWC) yang menggunakan seorang kanak-kanak untuk mengemukakan permohonan maaf berhubung penganjuran kejohanan tersebut.

Menurut Hannah Yeoh, tindakan itu tidak wajar dan menimbulkan persoalan tentang kebertanggungjawaban penganjur, memandangkan acara tersebut dijalankan tanpa kelulusan rasmi daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].

“Tolong jangan gunakan kanak-kanak untuk membuat penjelasan seperti ini. KBS tidak memerlukan anak kecil ini untuk meminta maaf.

“Anak kecil tidak salah. Penganjur perlu bertanggungjawab,” tegas beliau dalam satu kenyataan di media sosial Instagram.

Kementerian Belia dan Sukan dalam kenyataan rasmi pada Ahad lalu menjelaskan bahawa sebarang penganjuran acara sukan, terutamanya yang melibatkan penyertaan antarabangsa, wajib mendapatkan kelulusan daripada PJS.

Ia bagi memastikan penganjuran mematuhi garis panduan keselamatan, integriti sukan serta peraturan yang ditetapkan.

Menurut kenyataan itu, pihak PJS akan mengeluarkan surat teguran kepada Persatuan Muay Thai Malaysia dan Malaysia Professional Boxing Federation (MPBF) kerana tidak memastikan penganjur memperoleh lesen atau kelulusan sebelum menganjurkan kejohanan tersebut.

Hannah turut menegaskan bahawa KBS tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan peraturan sedia ada terutamanya dalam penganjuran acara melibatkan atlet muda dan peserta antarabangsa.

Beliau turut menyeru semua penganjur acara sukan agar lebih peka terhadap keperluan mendapatkan kelulusan rasmi daripada PJS bagi mengelakkan sebarang implikasi undang-undang dan menjaga imej sukan negara.

Baru-baru ini, tular video di media sosial yang memaparkan aksi kanak-kanak bertindak agresif ketika sesi face-off, sekali gus menimbulkan kemarahan orang ramai, terutama golongan ibu bapa.

Pihak penganjur kemudiannya dilihat memuat naik video permohonan maaf salah seorang peserta kanak-kanak bernama Al-Fateh atas aksi agresif tersebut.

Al-Fateh dalam video tersebut berkata ia merupakan pertama kali dirinya menyertai sidang akhbar besar-besaran sekali gus mengakui tidak dapat mengawal emosinya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |