KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menafikan sekeras-kerasnya mengenai dakwaan kononnya sukan karate dianaktirikan, sebaliknya sentiasa mengiktiraf peranan besar Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) sebagai antara penyumbang pingat yang konsisten buat negara.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, hubungan antara KBS dan MAKAF kekal utuh, malah beliau telah mengarahkan Jawatankuasa Geran Padanan Sukan (GPS) untuk meneliti semula permohonan dana geran persatuan itu susulan kekecewaan mengenai jumlah kelulusan yang disifatkan tidak setimpal.
Jelas Hannah, beliau memahami kegusaran Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad memandangkan penganjuran kejohanan bertaraf dunia memerlukan kos yang tinggi dan berisiko menyebabkan penganjur menanggung hutang jika dana tidak mencukupi.
“Saya sudah arahkan jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KBS (Datuk Ts Dr Nagulendran Kangayatkarasu) untuk teliti semula permohonan MAKAF. Kita faham risiko penganjur. Saya tidak duduk dalam jawatankuasa GPS tersebut.
“Secara peribadi, saya juga tidak gembira dengan jumlah RM450,000 yang diluluskan untuk Kejohanan WKF (Persekutuan Karate Dunia) Karate1-Series A Kuala Lumpur 2025 baru-baru ini kerana melibatkan banyak atlet.
“Cuma perbezaanya, Datuk Nur Azmi ada menyatakan dulu dapat RM1 juta. Tapi dulu masa permulaan Geran Padanan Sukan, kita tak dapat banyak permohonan kerana tak ramai yang tahu malah dana ketika itu lebih besar. Sekarang ini, dana lebih kecil tetapi permohonan dah banyak. Oleh sebab itu, dah banyak permohonan yang kita tak boleh bagi RM1 juta.
“Sebenarnya kita tidak menganaktirikan apa-apa sukan. Jadi, saya rasa ada asas kenapa Datuk Nur Azmi tidak gembira kerana memang kita bergantung kepada karate untuk bawa balik pingat dan banyak membawa hasil buat negara,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Kursus Latihan Asas Sukan (KLAS) Sepak Takraw Perpaduan Kaum 2025, di SJKC Kwong Hon, Sungai Besi, di sini, hari ini.
Terdahulu, MAKAF meluahkan rasa kecewa dengan jumlah geran yang diterima biarpun telah membelanjakan lebih RM1.5 juta bagi penganjuran kejohanan tersebut, sekali gus membayangkan mungkin tidak akan menganjurkan kejohanan serupa pada masa depan.
Dalam pada itu, Hannah turut membawa khabar gembira apabila mengumumkan untuk melakukan penambahbaikan segera dalam skim GPS dengan membenarkan kos penyiaran (broadcasting) dimasukkan sebagai item yang boleh dituntut.
“Kadang-kadang standard antarabangsa mewajibkan siaran langsung dan ia menelan belanja besar. Sebelum ini ia tidak boleh dituntut, tetapi ini antara perkara yang kita baiki untuk masa akan datang,” katanya. -KOSMO! ONLINE

1 hour ago
1









![[VIDEO] ‘Pengajaran paling bernilai dia dapat, gunakanlah seat belt’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-03-at-10.49.31-AM.jpeg)







































