Karnival Hari Keluarga ATM Sabah meriah, lebih 8,300 anggota, keluarga hadir

2 weeks ago 14

PETALING JAYA – Karnival Hari Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sabah berlangsung meriah apabila lebih 8,300 anggota tentera bersama keluarga hadir menyertai program yang berlangsung serentak di dua lokasi utama semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Stadium Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sepanggar.

Kementeran Pertahanan (Mindef) dalam kenyataan berkata, lokasi itu menyaksikan lebih 4,300 warga ATM dan keluarga membanjiri kawasan perkarangan pangkalan bagi mengikuti pelbagai aktiviti, selain beramah mesra bersama beliau.
Katanya, pada masa sama, lebih 3,000 anggota tentera dan keluarga turut memenuhi Kem Lok Kawi dalam penganjuran Karnival Hari Keluarga ATM bagi Zon berkenaan.

Kehadiran ini melengkapkan rangkaian sambutan yang turut diadakan sehari sebelumnya di Zon Kota Belud dengan penyertaan lebih 1,000 anggota dan keluarga.

Program di kedua-dua lokasi berlangsung serentak dengan pelbagai acara menarik, termasuk senamrobik, sukaneka, serta pertandingan sukan rakyat seperti tarik tali, permainan gula-gula dalam tepung, memancing dalam botol dan sukan memanah.

Aktiviti yang dianjurkan bukan sahaja mengeratkan hubungan warga ATM, tetapi turut menjadi wadah mengukuhkan semangat kekeluargaan dan motivasi warga kerja pertahanan.

Menurut Mindef, penganjuran Karnival Hari Keluarga ATM Negeri Sabah memainkan peranan penting dalam menjamin kebajikan serta kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan (WKP).

“Ia juga memperkukuhkan sokongan berterusan WKP terhadap ATM selain meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai tugas penting ATM dalam memelihara keamanan dan keselamatan negara,” katanya.

Selain menghadiri karnival, Mohamed Khaled turut mengadakan lawatan kerja ke kawasan Operasi Balasah untuk melawat anggota yang sedang bertugas di sempadan pedalaman Sabah.

“Lawatan tersebut memberi peluang kepada beliau menilai keadaan di lapangan, khususnya peranan penting ATM dalam menghalang aktiviti jenayah rentas sempadan serta membantu pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Jelas Mindef, pendekatan ini selaras dengan prinsip Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) dan konsep Whole of Government and Society (WoGos) yang menjadi tunjang kepada keharmonian masyarakat serta kesiapsiagaan pertahanan negara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |