ALOR SETAR – Percutian suami isteri warga Russia di Langkawi berakhir dengan kisah menyedihkan apabila anak lelaki mereka yang berusia dua tahun meninggal dunia setelah disengat obor-obor, Sabtu lepas.
Kanak-kanak itu, Vladimir Lakubanets, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini pada pukul 9.46 pagi tadi setelah menerima rawatan sejak 16 November lepas.
Bapa kanak-kanak itu, Nikita Lakubanets, 32, dari Khabarovsk berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi ketika dia dan isteri membawa anak mereka berjalan-jalan di pantai berdekatan Dataran Pantai Chenang. “Ketika anak mandi di pantai, tiba-tiba dia menjerit dan menangis. Isteri terus mendapatkan anak kami dan mendapati obor-obor besar menyengat kedua-dua belah kakinya. Isteri saya juga terkena sengatan ketika menanggalkan cengkaman obor-obor itu dari kaki anak saya.
“Saya berusaha memberikan CPR (bantuan pernafasan) kepada anak saya sebelum menghantarnya ke klinik dan kemudian kami dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurut jurutera teknologi maklumat itu, anaknya kemudian dirujuk ke HSB keesokan harinya setelah keadaannya memburuk walaupun telah menerima rawatan awal pada hari kejadian.
“Saya diberitahu doktor anak meninggal dunia akibat keracunan daripada sengatan obor-obor tersebut yang mengakibatkan keadaannya kritikal,” katanya.
Bercerita lanjut, katanya walaupun amat bersedih dengan kejadian yang menimpa anak tunggal mereka, mereka reda dengan ketentuan itu.
“Kami tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini, cuma berharap pihak berkenaan melakukan sesuatu bagi mengelak insiden sama menimpa orang lain, seperti meletakkan papan tanda amaran tentang obor-obor ini. Itu termasuklah tindakan yang harus dilakukan apabila ada pengunjung disengat,” harapnya.
Sementara itu, menurut isterinya, Olga Lakubanets, 32, anaknya sangat teruja dan gembira apabila mereka tiba di Langkawi pada Jumaat lepas.
“Kami bertiga memang seronok sangat apabila dapat bercuti di Langkawi, apatah lagi anak saya yang tidak sabar untuk bercuti di sini,” katanya.
Tambahnya, mereka berharap dapat membawa pulang abu mayat anak mereka pada 26 November ini, iaitu tarikh sepatutnya mereka pulang ke negara asal. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
3










![[VIDEO] ‘Dulu nenek dukung saya, sekarang nenek dukung cicit’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/cucu-nenek-cicit.jpeg)
![[VIDEO] ‘Kalau aku kerja sini, 8 pagi masuk, 8.01 pagi dekat bilik jenazah’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/pekerja-ular.jpeg)

![[VIDEO] ‘Ni baju nikah arwah Najmi, kawan baik Aidil’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-19-at-2.33.18-PM.jpeg)



































