Kanak-kanak boleh mental akibat permainan video ganas

15 hours ago 7

KUALA SELANGOR – Kanak-kanak yang gemar bermain permainan video terutama yang berunsur ganas turut berisiko mengalami gangguan kesihatan mental sekiranya tidak dipantau dengan baik.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, cabaran dunia digital masa kini menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada pelbagai pengaruh termasuk permainan dalam talian yang boleh menjejaskan kestabilan emosi dan pemikiran mereka.

“(Adakah termasuk kanak-kanak yang kerap bermain permainan video ganas? ) Ya, betul. Itu saya sangat sokong kerana hari ini mereka berdepan pelbagai cabaran dalam bentuk media. Selain dulunya, kita tidak tahu bagaimana permainan dalam talian ini dan sebagainya boleh menjadi cabaran kepada mereka,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Rahmah Mesra Santuni Madani di Pantai Jeram di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, setiap individu tanpa mengira usia berpotensi mengalami masalah kesihatan mental namun terdapat kumpulan rentan yang perlu diberi perhatian serta empati oleh masyarakat.

“Setiap daripada kita boleh sahaja terdedah kepada cabaran kesihatan mental apabila emosi menurun atau tekanan meningkat sama ada keresahan dan kemurungan,” jelasnya.

Justeru katanya, kita tidak boleh anggap mereka yang berdepan masalah ini sebagai pesakit yang harus dipandang serong sebaliknya memandang mereka dengan memahami emosi mereka dan segera membantu mendapatkan rawatan.

Mengulas langkah Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani isu itu, Dr. Dzulkefly berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk talian Hotline 15555 serta program K-Mindset yang memperkasakan pemimpin masyarakat bagi mendekati individu berisiko.

“Melalui K-Mindset, kita memperuntukkan sebanyak RM21.6 juta untuk melatih ketua kampung, penghulu serta akan diperluaskan kepada tokoh agama agar memainkan peranan menjaga kesihatan mental masyarakat di kawasan masing-masing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |