‘Kali terakhir dia mengamuk guna parang dua tahun lalu’

2 days ago 7

ALOR SETAR – Seorang lelaki menggemparkan penduduk Kam­pung Pida 3, Jerlun apabila memenggal kepala abang iparnya hingga putus dengan sebilah parang di kawasan sawah malam kelmarin.

Dalam kejadian pukul 7.05 ma­lam itu, kepala Nasir Md. Nayan, 45, ditemukan satu meter dari badannya. Lebih menyayat hati, isteri mangsa, Marlia­na Awang, 39, hanya mampu meriba mayat suaminya yang tidak sempurna dan dise­laputi selut sela­ma dua jam di lo­kasi tersebut.

Suspek yang berusia 38 tahun bagaimanapun berjaya diberkas pada pukul 8 malam selepas dipujuk anggota polis selama 15 minit.

Ketika itu, suspek berada di da­lam bilik di rumahnya yang terletak 30 meter dari lokasi kejadian sambil memegang parang.

Marliana berkata, dia yang ti­ba di lokasi sebaik mengetahui me­­ngenai kejadian itu melihat keadaan arwah suaminya begitu menyayat hati.

“Saya urut dada dan buang selut pada tubuhnya (suami). Saya riba suami dari sebelum azan magh­­rib sampai hampir pukul 10 ma­lam,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sul­tanah Bahiyah (HSB) di sini semalam.

MARLIANA menunjukkan gambar arwah suaminya, Nasir yang dibunuh dalam keadaan tragis di Kampung Pida 3, Jerlun kelmarin.

Katanya, sebelum insiden nge­ri itu berlaku, dia sempat berbual dengan suaminya dan memin­ta lelaki itu membawa masuk kam­bing ke kandang dekat rumah ibu yang terletak berdekatan.

“Selepas itu, saya tunggu lama dan tertanya-tanya kenapa suami masih belum balik sebelum penduduk kampung datang be­ritahu ada orang bergaduh dalam sawah,” katanya.

Menurut wanita itu, dia yang menunggang motosikal ke lokasi kejadian mendapati suaminya ter­­baring di dalam sawah.

“Saya redah sawah yang berselut dan riba badan suami. Selepas itu penduduk dan anggota polis sampai, mereka minta saya naik. Sukar nak gambarkan pera­saan waktu itu, Allah ambil dia dalam keadaan begitu, namun sa­ya reda,” ujarnya.

Katanya, sepanjang memang­ku mayat suaminya, dia berdoa su­paya segala urusan di­permudah­kan kerana mangsa seorang sua­mi yang baik dan rapat de­ngan dua anak lelaki mereka ber­usia tujuh dan 12 tahun.

Marliana berkata, suspek yang juga adiknya memaklumkan kepada polis bahawa dia ternampak mangsa memanggilnya dan se­perti mengejek ketika mahu keluar untuk mandi.

“Mungkin itu halusinasi sampai dia sanggup tetak suami dengan kejam,” katanya yang memberitahu suspek mengalami gangguan perasaan sejak empat tahun lalu.

Tambahnya, adiknya kerap me­ngamuk dan bercakap seorang diri sejak dua bulan lalu kerana tidak memakan ubat yang diberikan doktor, namun perbuatannya itu terhad di dalam rumah dan tidak mengganggu orang lain.

“Kali terakhir dia mengamuk menggunakan parang sampai ter­paksa panggil polis. Kejadian ini berlaku lebih dua tahun lalu.

“Biasanya kalau orang luar (ti­dak dikenali) datang rumah, dia akan masuk dalam bilik. Dia tinggal bersama emak kami yang berusia 65 tahun dan seorang lagi adik berusia 28 tahun,” katanya.

TANGKAP layar video tular memaparkan anggota polis cuba memujuk suspek di sebuah rumah di Kampung Pida 3, Jerlun malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Da­e­rah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim ber­kata, pihaknya merampas se­bilah parang sepanjang 30 senti­meter yang digunakan dalam ke­ja­dian tersebut.

“Siasatan mendapati mangsa dan suspek yang bekerja sebagai pesawah tidak mempunyai rekod jenayah. Suspek masih bujang dan rumah mereka terletak berhampiran.

“Setakat ini siasatan masih di­teruskan bagi mengenal pasti mo­tif serangan tersebut. Ujian sa­ringan air kencing yang dila­kukan ke atas suspek didapati negatif dadah,” katanya.

Dalam pada itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar dan dibenarkan direman selama enam hari bermula semalam untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perintah reman ke atas suspek dibenarkan oleh Majistret Siti Nor Hasliza Md. Ali. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |