Jurukimpal perkosa anak tiri dipenjara 33 tahun, 32 sebatan

1 hour ago 2

PASIR MAS – Perbuatan keji seorang jurukimpal yang merogol dan mencederakan anak tirinya sejak remaja itu berusia 14 tahun berbalas apabila Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 33 tahun dan 32 sebatan.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Zulkpli Abdullah selepas tertuduh yang berusia 40 tahun mengaku bersalah atas enam pertuduhan rogol dan satu pertuduhan sengaja mencederakan mangsa.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa merogol anak tirinya yang berusia 14 tahun empat bulan dan 15 tahun tiga bulan ketika kejadian apabila perhubungannya dengan mangsa tidak dibenarkan di bawah undang-undang atau hukum agama.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Pengkalan Kubor, Tumpat dekat sini kira-kira pukul 12 tengah malam pada Jun 2022 dan 1 pagi pada April 2023.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan terhadap mangsa sama apabila perhubungannya dengan mangsa tidak dibenarkan di bawah undang-undang atau hukum agama.

Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di lokasi sama kira-kira pukul 11 malam pada bulan Mei 2025 dan antara pukul 3 petang hingga 11 malam pada 9 Januari hingga 23 April 2026.

Pendakwaan terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Mengikut pertuduhan ketujuh, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa sama di lokasi sama kira-kira pukul 11 malam pada 25 April lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Nailah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh memohon mahkamah mengurangkan hukuman penjara yang akan ditetapkan kepadanya.

Siti Aisyha Nailah menegaskan bahawa hukuman setimpal dan berat perlu dikenakan kepada tertuduh kerana ia melibatkan kesalahan serius dan mangsa dalam kes itu juga anak tirinya.

Katanya, kes tersebut meninggalkan kesan trauma kepada mangsa apabila dia takut untuk menceritakan kejadian itu sehingga mangsa mencecah usia 18 tahun.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 33 tahun dan 32 sebatan untuk kesemua pertuduhan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 29 April lalu.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan di penjara dan pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |