Juara Travel meterai perjanjian bernilai RM30.9 juta dengan Saudi Airlines

13 hours ago 1

BANGI – Juara Travel & Tours Sdn. Bhd. (Juara Travel) telah memeterai perjanjian strategik dengan Saudi Airlines bernilai RM30.9 juta bagi penyediaan 10,000 tempat duduk dalam pesawat kepada para pelanggannya.

Ini adalah komitmen syarikat kepada para pelanggannya bersempena meraikan pencapaian luar biasa selama 25 tahun syarikat dalam industri pelancongan, umrah, haji dan tiket penerbangan.

Turut menyokong perkhidmatan bersepadu itu, Juara Travel memeterai dua perjanjian pen­ting rakan strategiknya di Tanah Suci iaitu Muassasah Matrafy dan Saraya Al Ansar International Company.

Menurut Pengarah Urusan Juara Travel, Rosnah Wagino, kerjasama bersama Muassasah Matrafy akan menjamin kelancaran urusan penginapan di Mekah dan Madinah, pengangkutan serta kebajikan para jemaah.

Kerjasama dengan Saraya Al Ansar International Company pula adalah untuk memastikan kemudahan penginapan bertaraf tinggi dan berkualiti bagi jemaah Juara Travel.

“Selama 25 tahun, Juara Travel kekal sebagai peneraju dalam industri umrah, haji dan pelancongan, ini adalah kerana faktor kepercayaan pelanggan, keutuhan jenama serta komitmen kami terhadap kecemerlangan per­khidmatan.

“Kami akan terus memperkukuhkan strategi, memperluas rangkaian antarabangsa dan memastikan setiap pelanggan menikmati pengalaman perjalanan yang berkualiti, selesa dan diyakini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Gemala Juara – Sambutan 25 Tahun dan Apresiasi Alumni Haji di sini kelmarin.

Lebih 450 alumni haji diraikan dalam majlis tersebut sebagai tanda penghargaan kepada pe­langgan setia yang telah bersama Juara Travel sejak tahun 2018 hingga kini.

Sejak menerima lesen rasmi sebagai pengelola haji daripada Tabung Haji pada tahun 2018, Juara Travel terus diberi kepercayaan dan kini telah memperoleh lesen pengelola haji bagi tahun 2026.

Ia membuktikan komitmen tinggi syarikat dalam memberi khidmat terbaik kepada jemaah Malaysia.

Rosnah menjelaskan, untuk musim haji tahun 2026, pihaknya akan terus menambah baik tahap perkhidmatannya kepada bakal jemaah haji, dengan persediaan yang lebih rapi bagi memastikan setiap jemaah menikmati pengalaman yang berkualiti dan teratur.

Juara Travel menawarkan empat kategori utama pakej haji iaitu ekonomi, standard, premium dan premium plus dengan harga tawaran bermula daripada RM47,890 sehingga RM125,000 bagi pakej paling
eksklusif.

Antara keistimewaan yang ditawarkan adalah penginapan dalam radius tidak lebih 500 meter dari Masjid Al-Haram dan pengiring profesional.

Sehingga kini, syarikat telah menguruskan lebih 1,200 jemaah haji dan 148,000 jemaah umrah sejak tahun 2018. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |