JPJ, Imigresen gempur syarikat guna pemandu lori warga asing tanpa lesen

3 hours ago 3

SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen (JIM) bagi melaksanakan tindakan bersepadu terhadap pengusaha lori yang menggaji warga asing tanpa lesen memandu sah.

Tindakan itu diambil selepas JPJ mendapati banyak kes berulang melibatkan pemandu lori, khususnya lori sampah, yang didapati memandu tanpa lesen sah serta menyalah guna permit kerja.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, berdasarkan statistik bermula Januari hingga hari ini menunjukkan sebanyak 5,915 kesalahan telah dikesan melibatkan pemandu warga asing bagi syarikat pembersihan milik kerajaan negeri Selangor.

Katanya, pecahannya adalah 2,170 saman atas pelbagai kesalahan, notis arah periksa (1,729), notis larangan penggunaan kenderaan (1,620), notis temu siasat (154), notis meminta butir-butir pemandu (104) dan notis sita (138).

“Terbaharu dalam tempoh 10 hari pula, didapati sebanyak 25 lori sampah dari syarikat sama (milik kerajaan negeri Selangor) telah disita.

“Ini termasuk libatkan pemandu warga asing tiada lesen memandu sah, tiada cukai jalan dan insurans serta tidak diselenggara dengan baik,” katanya pada sidang akhbar di JPJ Padang Jawa di sini, hari ini.

Menurutnya, hukuman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 hanya memperuntukkan denda minimum antara RM300 hingga RM1,000, yang disifatkan terlalu ringan untuk memberi kesan kepada pengusaha lori.

“Bagi kenderaan yang disita (25 lori sampah), kami akan ambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi tujuan pelucutan hak. Tetapi itu pun tidak mencukupi kerana syarikat yang menggaji mereka tidak dikenakan apa-apa hukuman.

“Kebanyakan pekerja ini adalah tidak sah atau menyalah guna permit kerja. Maka, semua 25 kes ini akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut terhadap syarikat di bawah Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.

Mengulas lanjut, kata beliau, ini pendekatan terbaharu JPJ kerana kesalahan berulang seterusnya mengelakkan kejadian tidak diingini terutama kemalangan.

Ketika ditanya sama ada JPJ telah memanggil syarikat milik kerajaan negeri Selangor susulan pelbagai kesalahan dilakukannya, Muhammad Kifli memaklumkan sebanyak empat libat urus telah dijalankan setakat ini.

“Seperti biasa, pihak syarikat hanya menjanjikan mereka akan berusaha untuk memastikan pemandu digajikan adalah mempunyai semua syarat diperlukan. Namun, apabila ditahan masih berlaku kesalahan berulang itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |