PETALING JAYA – Mengakui sedang menjalin hubungan jstimewa, penyanyi Adira Suhaimi lebih selesa untuk tidak terlalu berkongsi mengenai identiti jejaka yang sedang bertakhta di hatinya ketika ini.
Mahu lelaki itu kekal misteri di mata khalayak, Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 35, juga mengakui selesa berkawan dengan jejaka yang sudah beberapa kali dikongsikan secara samar-samar dalam media sosialnya.
“Boleh dikatakan istimewa, sebab saya pun jarang kongsi mana-mana lelaki. Jadi saya minta doakan yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada sidang media program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), di sini, semalam.
Tambah pelantun lagu Ku Ada Kamu itu lahipenyanyi dia kini memilih untuk berkongsi perkara yang perlu sahaja dalam media sosial dan enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai hubungan tersebut.
“Setakat ini apa yang boleh saya kongsikan adalah apa yang saya kongsi di media sosial sahaja. Itu saja.
“Saya kekal dengan cara itu dan mengharapkan doa yang baik-baik daripada semua. Insya-Allah,” ujarnya.
Dalam pada itu, naib juara Akademi Fantasia musim kelapan itu memberitahu anak-anaknya juga sudah menerima kehadiran jejaka misteri berkenaan dengan baik.
“Alhamdulillah setakat ini anak-anak saya sangat selesa. Saya tak boleh kongsi lebih banyak kerana perlu menghormati keluarga,” jelasnya.
Adira turut menafikan dakwaan kononnya dia sengaja mencipta gimik bergambar bersama lelaki misteri demi meraih perhatian sempena penyertaannya dalam TTMM2 bersama anak perempuannya, Anggerik.
“Saya tak buat gimik. Apa yang saya kongsi di media sosial adalah perkara yang saya suka, tiada paksaan.
“Maknanya apa yang ada di media sosial saya itu adalah apa yang saya suka dan bahagia,” jelasnya.
Terdahulu perkongsian Adira dalam Instagram yang memaparkan dia bersama jejaka misteri yang memiliki rambut panjang paras bahu mengundang pelbagai teka-teki dan spekulasi ramai.
Ramai netizen tumpang bahagia dan mendoakan agar dia dipertemukan jodoh dengan jejaka tersebut yang disifatkan mereka sebagai jodoh lebaran buatnya. – KOSMO! ONLINE

17 hours ago
5

















































