Othman menyiram air mawar ke pusara Muhammad Hazmi sebaik selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Pinang, Laguna Merbok, Sungai Petani hari ini.
- Oleh OTHMAN YAHAYA
- 15 November 2025, 12:49 pm
SUNGAI PETANI – Jenazah pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) yang lemas dalam kejadian di Sungai Pelong, Desa Warisan di Terengganu semalam selamat dikebumikan pagi ini.
Jenazah Allahyarham Muhammad Hazmi Othman, 19, pelajar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang di Laguna Merbok di sini dan dihadiri lebih 100 ahli keluarga dan rakan.
Terdahulu jenazah pelajar terbabit disembahyangkan di Masjid Al-Makmur Qariyah Sungai Lalang selepas tiba di rumahnya pukul 6 pagi tadi dari Kuala Terengganu.
Sementara itu bapa mangsa, Othman Abd Razak, 67, memberitahu, dia reda dengan pemergian anak bongsunya itu dan menganggap ia pengakhiran yang baik untuk arwah.
“Kami sekeluarga menerima ketentuan takdir ini kerana segalanya telah ditetapkan Allah,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan tersebut. – KOSMO! ONLINE

2 weeks ago
15

















































