KUALA LUMPUR – Jasad lelaki yang hilang selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma, di sini Isnin lalu ditemui pada jarak 65 kilometer (km) dari lokasi kejadian, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, mayat mangsa iaitu K. Suresh, 37, ditemui kira-kira pukul 10.30 oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
“Kita telah memperluaskan skop SAR kepada 36 km hari ini dari Kampung Tengah, Puchong menghala ke Klang.
“Daripada 13 pasukan yang digerakkan, pasukan kelapan telah menemui mayat seorang lelaki yang tersangkut di perangkap sampah di Kampung Sungai Kandis, Shah Alam,” katanya pada sidang akhbar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Sazalee berkata, hasil pemeriksaan awal, mayat tersebut telah dikenal pasti melalui tatu yang terdapat pada lengan kanan yang bertulis nama mangsa selain pengecaman fizikal oleh keluarga.
“Keadaan mayat dalam keadaan membengkak setelah lima hari dihanyutkan dan telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.
“Mayat mangsa dijangka diserahkan kepada keluarga esok selepas bedah siasat selesai,” ujarnya.
Sebelum ini, kenderaan mangsa yang turut dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma, di sini Isnin lalu berjaya ditemui, semalam.
Kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero itu ditemui kira-kira 1.5 kilometer (km) dari lokasi kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi.
Terdahulu, seorang lelaki yang sedang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma, kira-kira 5.40 petang.
Sazalee dilaporkan berkata, ketika kejadian, terdapat 13 pekerja sedang bertugas di lokasi berkenaan yang mana 12 daripada mereka berjaya diselamatkan. – KOSMO! ONLINE

1 week ago
16










![[VIDEO] ‘Sedihnya…Tok Wan Jagung Gurun dah tinggalkan kita’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/tok-wan-jagung.jpeg)






![[VIDEO] Positif dadah, pemandu lori lawan arus 150 km ditahan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/lori-lawan-arus.jpeg)

![[VIDEO] ‘Bukan pandang belakang kak, pandang depan’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/konvo-utim.jpeg)





























