‘Jangan kau kejar orangnya’ – Erma Fatima diserang peminat artis

5 hours ago 5

PETALING JAYA – Biarpun tidak menyebut nama mana-mana pihak, pengarah dan penerbit sensasi Erma Fatima berdepan kecaman melampau netizen selepas memuat naik status berbaur nasihat di gelanggang media sosial.

Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad Ali menerusi Threads menulis dengan maksud mendalam berbunyi: “Jika ada orang melemparkan api ke rumah kau, jangan kau kejar orangnya.”

Menerusi hantaran sama, pengarah filem Embun itu mengajak orang ramai agar supaya tidak berkelahi sesama sendiri.

“Padamkan saja api itu, rumah kau akan selamat.

“Jika ada orang melemparkan api kedalam hati kau, padamkan saja api hati kau, agar kau selamat.

“Zaman semakin mengajar manusia hilang empati,” coretnya lagi.

Perkongsian status tersebut menjemput berbakul-bakul cacian daripada netizen yang tak usul periksa mengaitkan kenyataan terbabit tentang kemelut yang melibatkan dua selebriti Fattah Amin dan bekas isterinya, Nur Fazura.

“Engkaulah yang hilang empati, itu sebab kau buat drama menganjing Fazura, lupa ke?

“Itulah yang Fazura buat sepanjang diperli dihina. Dia padamkan api dan selamat. Yang lemparkan api pula makin serabut,” demikian antara komen netizen.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan permohonan kebenaran tunjuk sebab secara ex parte difailkan Fattah terhadap Fazura telah ditolak mahkamah.

Peguam mewakili Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan memaklumkan, keputusan dibuat Hakim Yang Arif Tuan Salehan pada 31 Mac lalu selepas meneliti permohonan berkenaan.

Tambahnya, kes tersebut difailkan awal Februari lalu dan hanya Fattah hadir ketika sebutan kes memandangkan prosiding dijalankan secara sebelah pihak.

“Mungkin ada situasi tertentu seperti anak penat atau terlewat kerana kelas mengaji, namun secara keseluruhan, hak lawatan masih dipatuhi. Malah, tahun ini anak mereka sempat beraya bersama bapanya,” katanya.

Untuk rekod, Fattah dan Fazura berpisah secara talak satu pada 7 Oktober 2024 selepas tujuh tahun melayari bahtera perkahwinan.

Hak penjagaan penuh anak tunggal mereka, Nur Fatima Aisya diberikan kepada Fazura, manakala Fattah diberi hak lawatan termasuk bermalam dua kali sebulan serta pertemuan tiga kali seminggu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |