Jamu dan ubatan seludup pun dijual di kedai Aceh

1 month ago 27

SHAH ALAM – Ramai peniaga kedai runcit Aceh dikatakan mengambil kesempatan dalam kerancakkan ekonomi di negeri ini termasuk menjual jamu dan ubatan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ini susulan Selangor yang diibarat sebagai lubuk emas bagi meraih pendapatan di kalangan warga asing.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, mereka menggunakan pelbagai iklan termasuk kekuatan luar biasa yang boleh diperoleh oleh pengguna atau peminum produk tersebut.

Katanya, kesempatan itu diambil segelintir mereka yang menggunakan lesen perniagaan selepas berkahwin dengan warga tempatan.

“Kadang-kadang mereka lakukan aktiviti termasuk kedai Aceh yang menjual rokok seludup dan ini amat banyak.

“Ubat-ubat dan jamu yang diseludup tidak mendapat kelulusan KKM. Saya tahu banyak jamu campur telur dan memperoleh kekuatan luar biasa semua ada dia punyai iklan. Saya tahu, ada di lapangan berlaku,” katanya pada sidang akhbar berkenaan cukai taksiran tahun 2024 di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, pihaknya mengambil maklum mengenai aktiviti yang menyumbang ketirisan ekonomi negara tersebut dengan penguatkuasaan lebih kerap akan dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Suee Lim menegaskan, operasi bersepadu memang dilakukan melibatkan bersama pelbagai agensi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Saya ambil maklum (termasuk penjualan rokok seludup) dan kita akan adakan operasi bersepadu. Kita akan minta kalau boleh setahun banyak kali.

“Ini sebab Selangor adalah lubuk emas dan ramai orang bukan sahaja bekerja untuk mencari nafkah hidup malah berniaga di sini termasuk warga asing,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya juga menyedari banyak premis di kalangan warga asing tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah.

“Kita kena serbulah. Memang bagaikan cendawan tubuh selepas hujan seperti di Meru. Malah Rohingnya pun ada (buka kedai runcit dan sebagainya),” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Sebahagian kedai runcit Aceh terus menjadi lubuk rokok seludup di Lembah Klang apabila ia bukan sahaja mudah didapati, malah dijual
pada harga murah.

Antara modus operandi digunakan mereka bagi mengelakkan aktiviti haram itu dikesan pihak berkuasa dengan membuat tempahan rokok seludup melalui rakan senegara yang juga ‘tauketauke’ kedai runcit.

Terdapat rakan senegara mereka yang mempunyai talian dengan sindiket penyeludupan membawa masuk rokok seludup ke negara ini melalui laluan haram.

Bagi melicinkan lagi operasi, setiap pesanan tersebut turut dihantar rakan kongsi mereka ke kedai-kedai runcit Aceh menggunakan pelbagai jenis kenderaan.

Dalam perkembangan berlainan, isu lesen ali baba dikatakan antara faktor menyebabkan ramai warga asing berniaga di Taman Sri Muda di sini sehingga mampu mengaut untung sehingga RM5,000 sebulan.

Justeru, pihaknya akan menyenaraihitamkan peniaga berkenaan daripada terus mendapat lesen perniagaan.

“Taman Sri Muda ada dua pasar iaitu Plaza Sri Muda dan pasar moden Sri Muda. Yang jadi isu ini adalah plaza Sri Muda

“Kita sudah ambil tindakan tutup dulu (Plaza Sri Muda) sebab kita hendak bersihkan dan semak balik lesen-lesen mereka yang ada ini. Lepas kita tapis nanti, kita benarkan berniaga balik namun warga tempatan sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |