Isu FIFA: FAM enggan kibar ‘bendera putih’

4 hours ago 2

PEMANGKU Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi menegaskan masih terlalu awal untuk mengibarkan bendera putih dan sedia mengheret kes Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Mohd. Yusoff berkata, FAM tidak membuat keputusan membawa kes ke CAS secara terburu-buru tetapi hasil keputusan sepakat bersama barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) selain peguam undang-undang yang dilantik.

“Kami tahu proses ini mungkin panjang dan melibatkan modal yang besar, tapi demi maruah bola sepak negara, FAM sanggup harungi apa saja cabaran di hadapan.

“Pada masa sama, kami juga tidak akan mudah menyerah kalah walaupun keputusan rayuan sebelum ini tidak memihak kepada kami. 

“Harapan kami agar seluruh penyokong bola sepak tanah air terus mendoakan dan memberi sokongan,” katanya kepada Kosmo!.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff berharap tempoh masa 21 hari yang diberikan FIFA dapat digunakan sepenuhnya bagi memastikan setiap aspek disemak secara terperinci oleh barisan peguam yang berpengalaman.

“FAM akan bersedia dengan segala dokumen dan butiran tertentu untuk dibawa kepada CAS dalam usaha memastikan terlepas daripada hukuman yang dikenakan FIFA.

“Peguam dilantik akan meneliti apa yang perlu dan FAM tidak akan berdiam diri untuk kes ini. Kita akan gunakan setiap ruang yang ada untuk mencari keadilan,” katanya.

Tribunal rayuan FIFA bersidang di ibu pejabat perundangan badan induk itu di Miami, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis sebelum mengeluarkan keputusan berkenaan rayuan FAM semalam.

Potensi hukuman yang bakal dikenakan terhadap skuad Harimau Malaya pula akan ditentukan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Kosmo! sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berharap segala proses perundangan serta rayuan melibatkan kes FAM termasuk prosiding CAS dapat diselesaikan sepenuhnya sebelum 31 Mac 2026. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |