ISN buka pintu buat Zii Jia

2 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Institut Sukan Negara (ISN) sentiasa bersedia membantu jaguh badminton negara, Lee Zii Jia bagi menjalani proses pemulihan selepas menamatkan musim 2025 lebih awal akibat kecederaan berpanjangan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, semua kemudahan serta kepakaran ISN terbuka sepenuhnya untuk pemain perseorangan utama negara itu, terutama bagi persiapan ke temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

“Saya doakan Zii Jia akan dapat pulih. Sangat penting untuk kembali segar untuk tahun hadapan.

“Kita tahu jadual badminton sangat-sangat padat dan kalau ada kecederaan, jika mereka berada dalam waktu sukar seperti ini dan jika mereka tidak pulih dengan betul, mereka juga akhirnya akan keletihan.

“Itu sebab kita nak pastikan Zii Jia akan ambil masa ini untuk mencari ketenangan dan kembali tahun hadapan dengan semangat untuk kejohanan-kejohanan akan datang.

“Untuk ISN, memang kita bersedia untuk bantu Zii Jia. Jika Zii Jia memerlukan apa-apa bantuan, boleh hubungi Dr. P. Vellapandian dari ISN bila-bila masa. Kita akan bantu Zii Jia,” kata Hannah selepas majlis pengumuman tajaan rasmi Skechers buat Kontinjen Malaysia menjelang Sukan SEA Thailand 2025, di Menara TRX, hari ini.

Terdahulu, hasrat peminat untuk melihat pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu beraksi hingga penghujung tahun ini tidak kesampaian apabila pemain Kedah itu mengambil keputusan menutup tirai saingan musim 2025 lebih awal selepas bergelut dengan isu kecederaan buku lali dan belakang yang masih belum pulih sepenuhnya.

Menurut Zii Jia, sejak aksi terakhir di China Masters pada September lalu, beliau dan pasukan sentiasa bekerja keras bersama pakar perubatan bagi merangka jalan terbaik untuk memastikan dirinya kembali beraksi dengan prestasi terbaik, terutama menjelang musim 2026. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |