PETALING JAYA – Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin berkata dia mengesyaki anak sulungnya itu dicekup dan dilarikan orang pada hari kejadian kanak-kanak itu dilaporkan hilang di Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai di sini pada 5 Disember 2023.
Dalam pemeriksaan balas pihak pendakwaan, Ismanira Abdul Manaf, 30, berkata dia beranggapan begitu kerana tiada bunyi tapak kasut Zayn ketika anaknya berada di belakang semasa kedua-duanya menaiki tangga untuk ke rumah selepas Zayn bermain buaian.
Pendakwaan: Dia berjalan di belakang, maksudnya puan memang jalan di hadapan dia, bukan di sebelah, bukan di tepi, memang jalan di hadapan. Ya?
Ismanira: Ya.
Pendakwaan: Kemudian puan kata, keterangan puan semalam, “Tiba-tiba saya sedar tak ada bunyi tapak kasut.” Tapak kaki, tapak kasut.
Ismanira: Ya.
Pendakwaan: Pada ketika mana yang puan sedar tiada bunyi?
Ismanira: Ketika saya menaiki separuh tangga, untuk tangga ke rumah.
Pendakwaan: Tapi kenapa sudah separuh tangga tingkat satu sahaja baru puan sedar tiada ada bunyi tapak kasut tu?
Ismanira: Saya syak anak saya dicekup dan dilarikan orang. Kerana saya langsung tidak mendengar bunyi tapak kasutnya.
Ujarnya meskipun dia tidak mendengar bunyi tapak kasut individu berlari, namun wanita itu tetap berpendirian mengesyaki anaknya dicekup dan dilarikan.
Dalam pada itu Ismanira turut memaklumkan dia menggunakan deria pendengaran untuk mengawasi Zayn pada waktu itu yang mana-mana kanak-kanak itu berada dibelakangnya.
Perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi esok.
Semasa prosiding Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan itu. – KOSMO! ONLINE