Ismanira sebak sebut nama Zayn, tidak pernah abai seperti dalam pertuduhan

11 hours ago 4

PETALING JAYA – Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Martin, Ismanira Abdul Manaf sebak ketika menyebut nama anak sulung lelakinya semasa memberi kenyataan bela dirinya di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Keadaan sebak itu dilihat selepas Ismanira, 30, memaklumkan kepada mahkamah nama anak pertamanya ialah “Zayn Rayyan Abdul Matin” yang lahir pada 2017 manakala anak lelaki keduanya lahir pada 2019.

“Saya ada dua anak lelaki…anak pertama Zayn Rayyan yang lahir pada 22 Februari 2017…anak kedua saya ialah Zahin Mateen yang lahir 27 Februari 2019,” katanya yang juga saksi pembelaan pertama ketika memberikan keterangan bersumpah dari kadang saksi
pada pemeriksaan utama oleh peguamnya Haresh Mahadevan.

Ismanira yang juga saksi pembelaan pertama dalam kenyataan lanjut menyatakan Zayn Rayyan telah meninggal dunia pada usia kanak-kanak itu berusia enam tahun manakala anak keduanya dipelihara ahli keluarganya di Seremban, Negeri Sembilan.

“Setiap pagi hari bekerja, rutin saya sejak 2022, saya kejutkan Zayn dan Mateen. Saya mandikan dan beri makan kemudian hantar adiknya ke rumah pegasuh dan saya akan hantar Zayn ke sekolah,” katanya lagi.

Sementara itu ketika memberi kenyataan pada hari kejadian kanak-kanak autisme itu hilang pada 5 Disember 2023, Ismanira berkata selepas mengambil anaknya pulang dari sekolah, dia ada membawa Zayn ke taman permainan sebelum naik ke atas rumah.

“Sebelum itu, saya ada jemput Zayn pukul 12.05 tengah hari sebab saya ada singgah pasar raya Econsave beli barang untuk masakkan Zayn spaghetti bolognese sebab dia suka. Selepas jemput balik, saya ada parkir motosikal di blok S dan sebelum balik (naik ke rumah) saya akan bawa Zayn main di taman pernainan main buaian dan itu rutin harian (selepas balik sekolah).

“Semasa naik ke rumah dan separuh tangga
saya sedar bunyi tapak kasut (Zayn Rayyan) tiada. Saya kemudian naik ke rumah kerana syak Zayn sudah naik kerana dia tahu rumah dia..namun bila saya saya sampai ke rumah Zayn memang tiada. Saya tidak dengar dia berlari kalau berlari saya mungkin terus kejar,” katanya lagi.

Cemas dengan keadaan itu, dia kemudian membuka pintu pagar dan pintu dan meletakkan barang selain membiarkan semua pintu-pintu itu dibuka.

Katanya pintu-pintu itu dibuka dengan harapan apabila anaknya itu balik boleh terus masuk ke rumah

“Saya ada panggil nama ‘Zayn’….’abang’ kt mana tapi tiada jawapan,” katanya yang kemudian memaklumkan pada suaminya mengenai kehilangan anak sulungnya itu.

Ujarnya sepanjang masa, dia sentiasa mengawasi anaknya menerusi bunyi tapak kaki dan Zayn akan berjalan sekitarnya termasuk memegang baju.

“Dia akan stress sebab dia tidak suka dikongkong dan saya fanam dia sudah besar…tidak suka dipegang tetapi dia memang akan jalan di sekitar saya dan dalam pengawasan saya,” katanya.

Tambahnya lagi, dia juga tidak pernah mengabai anaknya seperti mana dalam pertuduhan yang didakwa.

Terdahulu Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya Zaim Ikhwan Zahari
dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan yang dikemukakan terhadap Ismanira manakala gagal membuktikan kes pendakwaan terhadap Zaim Ikhwan.

Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Syahliza berkata setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan secara pernilaian maksimum serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaim Ikhwan pada akhir kes pendakwaan.

“Oleh itu tertuduh pertama (Zaim Ikhwan) dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri, manakala tertuduh kedua (Ismanira) mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh kedua (Ismanira) dan dipanggil untuk membela diri mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” kata hakim itu.

Perbicaraan bela diri bersambung lagi esok.

Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh-tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |