Ismail Sabri ziarah waris keluarga mangsa Covid-19

1 month ago 34

PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyantuni dua keluarga di Kuching, Sarawak yang pernah kehilangan orang tersayang akibat pandemik Covid-19 semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) berkata, keluarga pertama diziarahi adalah keluarga Tina Bong, 50, yang kehilangan suami akibat Pandemik Covid-19 pada Oktober 2021.

Menurut beliau, Tina bersama dua anak masing-masing berusia 18 dan 15 tahun kini menumpang hidup di rumah milik mentuanya yang telah uzur.

“Dia hanya bekerja sendiri dari rumah iaitu membantu orang memasak jika ada permintaan dengan pendapatan yang tidak menentu.

“Saya menyampaikan bantuan wang tunai kepada Tina dan keluarganya bagi memastikan mereka dapat menyambut Hari Natal dengan penuh kegembiraan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ismail Sabri berkata, keluarga kedua beliau santuni adalah keluarga Rimanoraishahida Sarbini, 37, yang kematian suami pada 14 September 2021 akibat pandemik Covid-19.

Menurut beliau, wanita itu kini menjaga tiga anak masing-masing berusia 16, 14 dan 13 tahun dengan pendapatan hanya RM700 sebulan sebagai pengasuh kanak-kanak.

Kata beliau, Rimanoraishahida merupakan pemohon baharu bantuan YKM dan yayasan itu telah bersetuju untuk memasukkan ketiga-tiga anaknya sebagai penerima bantuan YKM bermula tahun depan.

“Saya telah menyerahkan surat kelulusan permohonan YKM kepada Rimanoraishahida ketika mengunjungi keluarga tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 20 anak yatim dan yatim piatu beragama Kristian di bawah kendalian YKM menerima sumbangan Hari Natal RM300 melalui akaun bank masing-masing bermula hari ini.

Jelas beliau, ia bagi memastikan anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan orang tersayang dapat menyambut setiap perayaan berdasarkan kepercayaan dan budaya masing-masing dengan kegembiraan.

Tambah beliau, di samping sumbangan perayaan, YKM telah menyalurkan Bantuan Kasih secara berfasa kepada 977 penerima sejak tahun 2022 termasuk 47 penerima bantuan daripada 21 keluarga di Sarawak.

Kata beliau, kanak-kanak berusia bawah 16 tahun menerima bantuan RM2,000 setahun, manakala remaja berusia 16 tahun sehingga tamat pengajian ijazah pertama menerima bantuan RM2,500 setahun.

“YKM telah membelanjakan sebanyak RM5 juta pada tahun ini untuk Bantuan Persekolahan, Bantuan Menara Gading, Hadiah Kecemerlangan Akademik, Sumbangan Perayaan dan Bantuan Bencana serta pengurusan.

“YKM terus komited untuk membantu anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan orang tersayang akibat Pandemik Covid-19,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |