Intrinseque Health pilih Malaysia buka cawangan pertama di Asia Tenggara

6 hours ago 5

MELAKA – Syarikat perkhidmatan kajian klinikal terkemuka, Intrinseque Health melancarkan fasiliti pertamanya di Malaysia di Jalan Portugis, Melaka, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nitin Jain berkata, pembukaan cawangan ke-10 itu juga adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Menurutnya, keputusan pelaburan itu dibuat selepas pihaknya optimis terhadap pulangan dan impak positif yang bakal diperoleh dalam landskap bioteknologi.

“Pada awalnya kami melihat Melaka ini hanya sebagai sebuah negeri pelancongan, namun selepas kerap ke sini kami mula melihat populasi, gaya hidup setempat dan seterusnya potensi dalam masyarakat.

“Mungkin ia (masyarakatnya) telah dinilai secara rendah dan difahamkan tiada pakar dalam bidang kajian klinikal di sini, jadi kami bersedia menjadi syarikat contoh atau perintis bagi organisasi lain,” katanya pada sidang akhbar majlis perasmian pembukaan Intrinseque Health di Jalan Portugis yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk menyediakan sebanyak 500 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Jika Intrinseque Health menjadi syarikat contoh yang berjaya, saya yakin ini juga akan menarik minat pelabur lain untuk membuka perkhidmatan di negara ini dan secara langsung membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

“Kami juga bukan hanya menawarkan perkhidmatan kajian klinikal kepada rakyat di sini tetapi secara global, dari Melaka ke peringkat antarabangsa dan ini adalah cara untuk membantu mengukuhkan ekonomi rakyat tempatan,” ujarnya lagi.

Katanya, antara perkhidmatan disediakan termasuklah strategi rantaian bekalan klinik, penyimpanan dan inventori, pembekalan dan pembelian bahan klinikal, penyediaan pakar secara strategik serta sokongan pengurusan projek kajian klinikal. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |