Institusi pendidikan perlu titik beratkan elemen kemanusiaan

3 hours ago 3

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah institusi pendidikan perlu direvolusi ke arah menitik beratkan elemen kemanusiaan, moral dan kesedaran undang-undang, ekoran beberapa kejadian jenayah melibatkan golongan pelajar dan siswazah.

Seri Paduka Baginda bertitah, perkara itu merupakan tanggungjawab sosial semua lapisan masyarakat.

“Kita dikejutkan dengan kes jenayah berat yang melibatkan pelajar. Ini menimbulkan kebimbangan mengenai tahap moral, agama dan watak pelajar. Selain itu, imej institusi pendidikan negara turut tercalar. Pendidikan dan pembentukan moral tidak hanya berlaku di kampus mahupun di bilik darjah. Ianya hendaklah bermula dari rumah dalam setiap kehidupan seharian.

“Rumah adalah madrasah pertama bagi setiap insan. Ia tempat di mana anak-anak kita semenjak dari kecil dididik dengan nilai mulia, disiplin dan tanggungjawab kepada masyarakat,” titah Yang di-Pertuan Agong ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-103, di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, sekolah dan institusi pelajaran perlu melalui revolusi pendidikan dengan menitikberatkan elemen kemanusiaan, moral dan kawalan emosi serta kesedaran undang-undang.

Titah baginda, generasi muda hendaklah dipupuk ke arah pengendalian kemajuan dunia siber dengan berhemah.

“Pendedahan kepada kandungan ganas yang berterusan boleh meningkatkan sifat agresif. Namun, pada hemat saya, sekatan penggunaan teknologi digital terhadap pelajar tidak akan menyelesaikan masalah, di samping akan hanya mengganggu ekosistem pelajaran secara digital dan jarak jauh.

“Hakikatnya, tiada jalan singkat bagi menangani masalah sosial. Ianya memerlukan usaha padu semua pihak bermula dari rumah, sekolah, masyarakat, ahli politik dan kerajaan,” titah Seri Paduka Baginda.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |