Ingatkan kucing, rupanya bayi ditinggal di banglo dalam pembinaan

9 hours ago 4

BACHOK – Seorang pemilik bengkel tidak menyangka pergerakan objek yang kelihatan seperti seekor kucing rupa-rupanya seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di kawasan pintu sebuah rumah banglo dua tingkat yang sedang dalam pembinaan di Kampung Pak Badol, di sini hari ini.

Bayi yang masih bertali pusat dengan kepalanya dialas tuala itu ditemukan Ahmad Bushra Zulkifli, 31, semasa sedang menunggang motosikal selepas menghantar anaknya ke sekolah kira-kira pukul 7.40 pagi.

Menurutnya, dia pada awalnya menyangka seekor kucing sedang bergerak di kawasan pintu rumah tersebut sebelum terus menghampirinya dan terkejut apabila mendapati ia merupakan seorang bayi.”Saya terus bergegas memaklumkan penemuan bayi itu kepada jiran saya yang dikenali sebagai kak Tie, 40-an. Dia membawa pulang bayi itu ke rumah manakala saya terus menghubungi Klinik Kesihatan Mahligai di sini untuk tindakan lanjut.

“Saya mengesyaki bayi itu baru dilahirkan dalam tempoh tiga jam sebelum ditinggalkan di kawasan rumah yang sedang dalam pembinaan. Mungkin ibunya tinggal tidak jauh dari kawasan kampung ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi penemuan bayi itu di Kampung Pak Badol di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu dari Klinik Kesihatan Mahligai di sini kira-kira pukul 8.45 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, bayi lelaki itu ditemui tanpa berpakaian dan dibalut menggunakan sehelai kain berwarna hijau di dalam sebuah rumah yang masih dalam pembinaan.

“Hasil pemeriksaan awal oleh doktor, bayi yang disyaki baru dilahirkan itu tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun terdapat kesan kemerahan pada bahagian mukanya.

“Bayi tersebut dibawa ke Wad Nilam 2, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dekat Kota Bharu untuk pemeriksaan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil,” ujarnya.

Mohamad Ismail berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab meninggal bayi tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |