PETALING JAYA – Kolej Universiti IJN (IJNUC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan IREHAB Integrated Rehabilitation (M) Sdn. Bhd. bagi menyediakan peluang latihan industri dan penempatan pekerjaan yang lebih luas kepada pelajar dan graduan institusi itu.
Kerjasama tersebut bertujuan memperkukuh pembangunan profesional, peningkatan kemahiran serta penerapan pengetahuan dalam situasi sebenar melibatkan pelajar merentasi pelbagai disiplin.
Antara bidang yang terlibat adalah penjagaan kesihatan, rehabilitasi dan penjagaan pesakit, selain menyokong peranan pentadbiran dan teknikal.
Naib Canselor merangkap Ketua Eksekutif IJNUC, Prof. Emerita Dr. Durrishah Idrus berkata, pihaknya teruja memformalkan kerjasama dengan IREHAB yang merupakan peneraju dalam perkhidmatan rehabilitasi bersepadu.
“Kerjasama ini akan menyediakan pengalaman praktikal dan pendedahan profesional yang sangat bernilai kepada pelajar kami, memastikan mereka bersedia sepenuhnya untuk menghadapi dunia pekerjaan.
“Dengan bekerjasama rapat bersama rakan industri, kami terus memperkukuh komitmen kami untuk menghasilkan graduan yang kompeten, bersedia bekerja dan mampu memberi sumbangan bermakna kepada sektor penjagaan kesihatan dan seterusnya,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Di bawah MoU berkenaan, IREHAB akan menawarkan latihan industri khususnya kepada pelajar program berkaitan penjagaan kesihatan seperti diploma, ijazah sarjana muda dan sijil bagi membolehkan mereka memperoleh pengalaman klinikal dan teknikal yang relevan.
Pelajar daripada disiplin lain seperti pengurusan, perniagaan dan teknologi maklumat juga berpeluang menjalani latihan industri dan penempatan pekerjaan dalam bidang pentadbiran, operasi, penyelidikan, pemasaran dan sokongan digital.
Kerjasama ini turut merangkumi penggunaan kemudahan pengajaran dan pembelajaran kedua-dua pihak untuk tujuan kajian, penyelidikan dan latihan, di samping promosi bersama pelbagai inisiatif di platform masing-masing tertakluk kepada kelulusan terlebih dahulu.
MoU berkenaan akan berkuat kuasa selama lima tahun dengan peruntukan untuk semakan dan pembaharuan, sekali gus mencerminkan komitmen kedua-dua pihak terhadap kerjasama jangka panjang serta pembangunan berterusan peluang bermakna kepada pelajar.
IJNUC baru-baru ini mencatat pencapaian penting dalam landskap pendidikan tinggi negara apabila dinaik taraf kepada status Kolej Universiti pada 13 Mei 2025, sekali gus membolehkannya menawarkan program ijazah, sarjana dan ijazah doktor falsafah tempatan. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
4










![[VIDEO] ‘Dulu nenek dukung saya, sekarang nenek dukung cicit’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/cucu-nenek-cicit.jpeg)
![[VIDEO] ‘Kalau aku kerja sini, 8 pagi masuk, 8.01 pagi dekat bilik jenazah’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/pekerja-ular.jpeg)

![[VIDEO] ‘Ni baju nikah arwah Najmi, kawan baik Aidil’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-19-at-2.33.18-PM.jpeg)



































