Ija disyaki tenggelamkan kereta isteri ke sungai

7 hours ago 5

MUAR – Siasatan polis mendapati pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, disyaki menenggelamkan kereta Perodua Axia milik isterinya di Sungai Tui, Lenga, Bukit Kepong, dekat sini sebelum dikatakan melarikan diri ke negara jiran.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, hasil siasatan mendapati terdapat keraguan terhadap laporan yang dikemukakan adik lelaki tersebut yang berusia 30 tahun.

“Polis percaya bahawa kejadian itu adalah direka untuk kepentingan peribadi. Siasatan juga mendedahkan mangsa disyaki menenggelamkan kereta Perodua Axia milik isterinya di Sungai Tui, Lenga, Bukit Kepong sebelum melarikan diri ke negara jiran.

“Adik mangsa turut mengaku dia turut bersubahat dan berpura-pura menjalankan usaha mencari mangsa bagi mengaburi siasatan pihak polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, misteri kehilangan Tengku Nizaruddin akhirnya terjawab apabila mangsa dikatakan melarikan diri ke negara jiran.

Muslihat rancangan kehilangan lelaki itu terbongkar selepas adik lelaki pempengaruh permotoran itu membuka mulut selepas disoal siasat pasukan polis yang membuat siasatan susulan laporan dibuat.

Semalam Kosmo! melaporkan, pihak berkuasa menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kehilangan pempengaruh permotoran tersebut selepas memasuki hari keempat pencarian.

Operasi yang telah digerakkan serta-merta pada hari yang sama kehilangan lelaki itu melibatkan pelbagai agensi penyelamat termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), unit dron JBPM, Pasukan Polis Marin, Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Raiz dipetik berkata, penamatan operasi SAR dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan antaranya bagi memberi ruang kepada pasukan penyelamat untuk memperluas kawasan pencarian ke lokasi-lokasi lain. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |